Jualan Telefon Pintar Jenama Xiaomi Atasi Tiga Kali Ganda Jualan Samsung Di China
NEW YORK 20 Feb. – Xiaomi Corp. hampir melepasi tiga kali ganda penghantaran Samsung Electronics Co. sebagai vendor telefon pintar China paling laris tahun lalu.
Penyelidik pasaran teknologi maklumat, IDC berkata, Xiaomi ditubuhkan pada 2010 meraih sebanyak 12.5 peratus penguasaan pasaran daripada 421 juta unit dijual di China pada 2014, meningkat daripada 5.3 peratus tahun sebelumnya.
Katanya, penghantaran Samsung susut 22 peratus, satu-satunya penurunan dalam kalangan lima vendor teratas negara sementara penguasaan pasaran turun kepada 12.1 peratus.
“Pengasas Xiaomi, Lei Jun hampir menjadikan Xiaomi sebagai vendor global tiga teratas menerusi strategi kos rendah dan pemasaran yang bagus bagi telefon pintarnya.
“Ketika Lei Jun melabur dalam syarikat permulaan untuk membina satu lagi kategori peranti baharu, telefon Xiaomi kebanyakannya terhad kepada China dan beberapa negara di Asia,” katanya menerusi laporan Bloomberg.
Menurut IDC, tumpuan Xiaomi kepada jualan telefon kos rendah dengan spesifikasi yang baik dan jualan kilat telah membantu syarikat itu berada di kedudukan teratas.
Penghantaran Lenovo Group Ltd. naik 13.7 peratus di China tahun lalu, ia jatuh ke tempat ketiga dengan 11.2 peratus sementara Huawei Technologies Co. dan Coolpad Group Ltd. menduduki tempat lima teratas.
Pertumbuhan penghantaran di China tahun ini mungkin akan jatuh kira-kira 10 peratus daripada kenaikan 20 peratus pada 2014 disebabkan pengurangan subsidi bagi pengendali telefon.
Pada suku keempat 2014, Apple berada tempat kedua di China selepas Xiaomi, pembuat iPhone berkenaan malah tidak tersenarai antara lima teratas bagi keseluruhan tahun berkenaan. – AGENSI
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini
