Keluarga Anwar mohon pengampunan Diraja
Kuala Lumpur: Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya tampil mengemukakan petisyen pengampunan diraja kepada Yang di-Pertuan Agong bagi sabitan kes liwat Ahli Parlimen Permatang Pauh itu biarpun PKR sudah mengeluarkan kenyataan untuk tidak berbuat demikian, Isnin lalu.
Perkara itu disahkan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil sebaik dihubungi Harian Metro.
Menurut Fahmi, permohonan itu dibuat atas inisiatif keluarga Anwar dan difailkan sendiri anak keduanya, Nurul Nuha.
“Saya dimaklumkan bahawa keluarga Datuk Seri Anwar akan tampil bersama kenyataan rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat,” katanya.
Mengikut Fasal 4 Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, Anwar boleh hilang kelayakan sebagai anggota parlimen berkuat kuasa semalam, iaitu selepas 14 hari beliau disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman, 10 Februari lalu.
Malah Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli kelmarin nampak bersungguh menyatakan bahawa parti tidak akan memohon pengampunan Diraja bagi pembebasan Anwar, apalagi tiada arahan daripada ketua pembangkang itu untuk berbuat demikian.
Namun ternyata yang berlaku menyimpang daripada kenyataan asal apabila kelibat Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah dan anak keduanya, Nurul Nuha muncul di Istana Negara, kira-kira jam 3 petang semalam.
Perkembangan itu sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi baru selepas pelbagai kenyataan bertentangan dikeluarkan PKR berhubung kerusi Parlimen Permatang Pauh yang disandang Anwar. - Harian Metro
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini