Lensa Anak Muda Sokong Tifo Anjing
PERISTIWA 'Tifo Anjing' di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin merupakan siri kritikan berterusan terhadap kewibawaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam menerajui pengurusan bola sepak Malaysia. Hakikatnya, penangkapan 12 penyokong JDT mengheret lagi perbincangan sehingga timbul persoalan apakah FAM langsung tidak boleh disentuh?
Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA) bersolidariti bersama para penyokong bola sepak tanah air khususnya penyokong JDT di atas tindakan yang dikenakan ke atas mereka. LENSA berpendirian tindakan penyokong JDT di Larkin tempoh hari sejajar dengan prinsip kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
LENSA beranggapan, 'Tifo Anjing' yang diangkat penyokong JDT bukan bertujuan untuk mengaibkan mana-mana individu. Tindakan tersebut merupakan ekspresi tidak puas hati pencinta bola sepak tempatan terhadap cara FAM mengurus tadbir industri bola sepak. LENSA juga percaya, kritikan lantang terhadap FAM ini bukan sekadar di Johor, tetapi banyak pihak lain yang senada dengan Johor dalam isu ini. Malah LENSA yakin kritikan terhadap FAM ini akan terus berlaku menjelang sepak mula Liga Malaysia yang bakal membuka tirai tidak lama lagi.
LENSA juga ingin mengingatkan FAM mengenai janji manis mereka pada tahun 1999, bahawa Skuad Bola Sepak Kebangsaan akan berjaya layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2014. Janji ini diumumkan sejurus selesai Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal FAM pada 29 Julai 1999 yang ketika itu dikendalikan sendiri oleh Presiden FAM sekarang. Apakah indikator yang digunakan pihak FAM bagi membuat janji skuad Kebangsaan layak ke Piala Dunia 2014?. LENSA ingin menegaskan bahawa mana mungkin kita mampu pergi sejauh Piala Dunia, sedangkan kita masih kempunan untuk merampas semula kejuaran Piala Suzuki AFF yang pernah kita menangi.
Kepada pimpinan FAM, janganlah anda seupama pepatah menyatakan, cakap berdegar-degar, tahi sangkut di gelegar. Anak muda tidak mahu lagi pemimpin yang hanya pandai bercakap, tetapi hasilnya tidak kelihatan.
Sebagai rakyat yang cintakan bola sepak Malaysia, kami menuntut penjelasan daripada pihak FAM, apakah penambahbaikan yang telah dilaksanakan terhadap Pelan Induk Bola Sepak Negara yang dihasilkan pada 1999 bagi menyemarakkan kelangsungan bola sepak negara? Rakyat mahu bola sepak menjangkau lebih jauh daripada Piala Suzuki AFF mahupun temasya Sukan Sea.
LENSA percaya seluruh pencinta bola sepak akan terus mempertikai kecelaruan pengurusan yang gagal dijelaskan FAM seperti program pembangunan bola sepak, pencarian dana, kualiti pengadilan, pengendalian Liga Malaysia dan hal-hal yang berkaitan. FAM seharusnya memanfaatkan pandangan dan kritikan yang dilontarkan penyokong bola sepak tanah air ini. Tanpa penyokong yang setia seperti mereka, siapa lagi ingin mendokong bola sepak Malaysia?
Kerancakan pembuka tirai Liga Malaysia langsung tidak mengambarkan kerancakan prestasi sebenar FAM. Dalam kedudukan ranking FIFA, kita masih lagi pada kedudukan yang mengaibkan, tidak setimpal dengan prasarana yang dibangunkan. Ditambah pula kegagagalan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia. Sekadar menjadi naib juara peringkat Asia Tenggara, mana mungkin boleh bermimpi ke peringkat akhir Piala Dunia melainkan jika kita diberi tiket automatik sekiranya terpilih menjadi tuan rumah. Inilah prestasi FAM yang selama ini mengabaikan suara penyokong bola sepak tanah air. Adakah tindakan FAM selama ini dianggap beradab setelah berbilion ringgit wang rakyat dibelanjakan untuk bola sepak negara?.
Para pencinta bola sepak tanah air optimis bahawa Malaysia mampu mara ke hadapan dengan lebih baik sekiranya FAM membuat rombakan terhadap sistem bola sepak negara. Ingatlah FAM, sistem yang sedia ada sehingga kini masih tidak mampu melahirkan semula bintang seumpama Allahyarham Mokhtar Dahari, inikan pula ingin melahirkan seorang bintang bola sepak yang baharu. - Harakah Daily
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini