Polis Tembak Lelaki Bergari Tak Didakwa
Savannah, Georgia – Seorang anggota polis Amerika Syarikat yang menembak mati seorang lelaki masih bergari tidak akan didakwa atas tuduhan jenayah selepas juri kelmarin memutuskan mangsa bersenjatakan sepucuk pistol ketika itu.
Pendakwa daerah Chatham, Meg Heap berkata, juri mendengar keterangan daripada 45 saksi dan meneliti laporan setebal lebih 2,000 halaman disediakan Biro Siasatan Georgia berhubung kes Charles Smith yang ditembak mati pada tahun lalu.
Meg berkata, dia percaya keputusan juri itu akan mengakhiri kemelut berkenaan.
Smith, 29, ditembak mati oleh David Jannot yang bertugas di daerah Savannah-Chatham pada 18 September tahun lalu.
Sebelum ditembak, Smith ditahan Jannot dan dua anggota polis lain sebelum tangannya digari dan dimasukkan ke tempat duduk belakang sebuah kereta peronda polis.
Polis berkata, tangan Smith digari di belakang tetapi dia berjaya mengalihkan tangannya ke depan.
Smith kemudian menendang cermin kereta peronda dan keluar dari kenderaan berkenaan.
Jemaah juri dalam laporan setebal empat muka surat menyatakan, Jannot menembak Smith sebanyak lima kali selepas suspek melarikan diri dengan sepucuk pistol di tangannya.
“Jannot memberitahu, Smith menghalakan pistol itu seperti mahu melepaskan tembakan.
“Smith mati di tempat kejadian dan sepucuk pistol dijumpai beberapa sentimeter dari tangannya,” kata laporan itu.
Ujian makmal juga mengesahkan sel kulit yang dijumpai pada pemegang pistol berkenaan adalah milik Smith.
“Jemaah juri juga terkejut kerana polis tidak menemui senjata berkenaan walaupun tiga anggota polis memeriksa badan suspek,” kata laporan itu. – AP
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini