Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

‘Saya hilang bapa dan cikgu’- Hafizal Ahmad

No Comment

Pengulas sukan, Hafizal Ahmad menyifatkan kehilangan pengulas sukan negara, Datuk Hasbullah Awang sebagai hilang bapa dan cikgu.

Menurutnya, Allahyarham seorang yang istimewa dan menganggap beliau sebagai bapa dan guru dalam menjadi seorang pengulas sukan yang berjaya.

“Dia ada pesan supaya jangan hampakan dia sebab sudah berada di tahap ini dan dia percaya pada saya.

“Arwah juga kata dia percaya kepada saya dan tidak mahu saya terbabas dalam kerjaya,” katanya ketika ditemui selepas solat jenazah di Masjid Himmatul Aliyah di sini, hari ini.

Hafizal ketika ditemui terkejut dengan berita kehilangan itu kerana kali terakhir berjumpa Allahyarham seminggu yang lalu, tiada tanda sakit.

“Saya ada berborak dengan dia dua hari lalu dan tahu dia sakit dan menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 4 Febuari lalu,” katanya.

Bagi bekas pemain bola sepak, Asmawi Bakiri, walaupun tempoh perkenalan yang singkat dengan Allahyarham, namun dia dapat menimba pengalaman luas sebagai seorang pengulas sukan yang baik.
Dia menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang lembut dan mudah didekati serta mempunyai pengetahuan luas dalam bidang pengulasan sukan.

“Saya kagum dengan ilmu yang ada pada beliau kerana apabila mengulas acara sukan, dia akan membawa sebuah buku yang mempunyai maklumat terperinci pemain sedangkan kita sebagai pengulas baru hanya membawa kertas biasa sahaja.

“Pengetahuan dan pengalaman yang ada pada beliau sangat bernilai dan apabila dapat mengulas bersama, itu adalah peluang yang bermakna,” katanya.

Bekas pemain Selangor itu berkata, kali terakhir Allahyarham menjadi pengulas sukan adalah ketika separuh akhir JDT dan Terengganu pada Piala Malaysia tahun lalu bersama Khalid Jamlus di Larkin, Johor.

Pengulas sukan, Zainal Abidin Rawop berkata, dia ada berjumpa dengan Allahyarham ketika di IJN dan kelihatan sihat serta ceria.

Menurutnya, ini adalah satu kehilangan besar terutamanya melibatkan kerjaya sebagai pengulas sukan.

“Kami akan cuba untuk dapatkan aura arwah untuk bersama meningkatkan mutu pengulasan pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, kali pertama bertugas bersama Allahyarham pada tahun 1985 pada Sukan Sea di Bangkok dan ianya pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Hasbullah, 63, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), di Kuala Lumpur pada 12.20 tengah hari ini.

Kerjaya terakhir Allahyarham ialah sebagai pengulas sukan dengan saluran televisyen Astro Arena bermula Januari 2014 dan sebelum itu beliau berkhidmat dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM). - The Rakyat Post
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini
Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli