AMMAN – Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menghantar satu skuadron pesawat pejuang F-16 ke Jordan untuk menyertai serangan udara terhadap kumpulan miltan IS bersama pesawat Jordan, menurut sumber tentera di Amman.
Tentera Udara Diraja Jordan melancarkan serangan ke atas kedudukan kumpulan IS di Syria dan Iraq pada Khamis lalu sebagai tindak balas terhadap pembunuhan kejam juruterbangnya yang ditangkap kumpulan itu.
Leftenan Muath Safi Yousef al-Kasasbeh ditawan IS pada 24 Disember tahun lalu dan allahyarham dibakar hidup-hidup pada 3 Januari sebelum video rakaman kejadian itu disebarkan IS pada Selasa lalu ke seluruh dunia.
Sementara itu, UAE menggantung semua penerbangan dalam kempen ketenteraan yang diketuai Amerika Syarikat itu berikutan kebimbangan mengenai keupayaan menyelamat juruterbang jika pesawat mereka terhempas ditembak jatuh.
Menurut sumber itu, pesawat tentera udara UAE kini akan menyertai serangan dari Jordan. – Reuters