44 dikhuatiri maut taufan landa Vanuatu
PORT VILA, Vanuatu 14 Mac – Lebih 44 orang penduduk Kepulauan Vanuatu dikhuatiri terkorban selepas dibadai Taufan Tropika Pam yang diramal melanda New Zealand, hari ini.
Agensi berita ABC melaporkan, Taufan Tropika Pam yang diletakkan dalam kategori lima, bergerak pada kelajuan 340 kilometer sejam ketika membadai ibu negara, Port Vila, semalam.
Bagaimanapun, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Unit Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan memberitahu, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada laporan 44 kematian yang berlaku di wilayah Penama benar atau tidak.
Pekerja bantuan berkata, sistem komunikasi di sebahagian besar kawasan pulau berkenaan kini tidak lagi berfungsi, sekali gus menyukarkan pihaknya mengetahui sejauh mana kerosakan berlaku.
“Kebanyakan rumah dibina menggunakan atap zink di Vanuatu. Taufan telah menyebabkan kemusnahan teruk sehingga mereka hilang tempat berteduh,” kata wakil Persatuan Save the Children, Nichola Krey.
Taufan berkenaan yang turut membawa hujan lebat, angin kuat, dan ombak besar mula membadai kawasan Pasifik Selatan sejak beberapa hari lalu, dengan Vanuatu, Kepulauan Solomon dan Fiji merupakan antara negara yang terjejas.
Selain itu, dilaporkan banyak kemusnahan berlaku di Kepulauan Solomon terutamanya di Pulau Tikopia, Santa Cruz, dan Reef, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – DPA
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini