Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Achey (Bocey) Tangguh Simen Kaki, Ziarah Allahyarham Harun Salim Bachik

No Comment


KUALA LUMPUR: Pelawak Achey memberitahu dia mendapat berita kematian pelawak Harun Salim Bachik selepas terjatuh daripada motorsikal dalam aktiviti riadah sukan motocross di Ulu Yam, dekat sini, pada Ahad lalu.

Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 29, berkata, berikutan itu, dia menangguhkan rawatan terhadap kaki kanan yang didapati mengalami keretakan semata-mata ingin melihat Allahyarham buat kali terakhir.

"Saya dapat berita tersebut pada petang semalam iaitu selepas saya terjatuh daripada motosikal dalam acara riadah motorcross di Ulu Yam. Saya ketepikan sakit dan segera keluar dari hutan apabila mendapati ada beberapa panggilan tidak dijawab daripada anak Allahyarham.

"Saya sempat ke klinik untuk dapatkan rawatan dan doktor memberitahu kaki saya perlu disimen kerana retak, namun saya minta ia ditangguhkan dan balut sahaja buat masa ini," ujarnya kepada mStar Online.

Achey ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarham Harun Salim Bachik di Tanah Perkuburan Islam Ar Raudhatul Sakinah Batu Muda, Batu Caves, dekat sini, Isnin.

Achey turut berada di kediaman Allahyarham sejak malam Ahad bagi menunggu jenazah dibawa pulang dari Hospital Parit Buntar, Perak.

Achey merupakan anak didik kepada Allahyarham dalam program Bintang Mencari Bintang terbitan TV3 dan memenangi tempat pertama pada program lawak tersebut.

Sementara itu, Achey berkata, Allahyarham sering memberi kata-kata nasihat dan semangat apabila dia berhadapan pertandingan yang besar.

"Dia orang yang paling penting dan bertanggungjawab membawa saya dalam industri seni ini.

"Biarpun kini saya sudah boleh bergerak sendiri dalam industri, namun dia sentiasa bertanya khabar dan beri kata-kata semangat kepada saya terutama apabila terlibat dengan pertandingan besar," ujarnya.

Kata Achey, Allahyarham sering menasihatkannya agar sentiasa menjadi diri sendiri dan tidak mengambil peduli dengan kritikan masyarakat.

"Pesanan dia yang saya pegang adalah sentiasa menjadi diri sendiri dan keaslian lawak sendiri.

"Dia juga selalu ingatkan saya agar jangan ambil peduli apa orang nak cakap kerana hanya kita yang tahu apa yang kita lalui," ujarnya.

Allahyarham meninggal dunia selepas rebah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol di Bukit Merah, Perak, petang Ahad.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar Raudahtul Sakinah Batu Muda, Batu Caves kira-kira pukul 11 pagi Isnin selepas disembahyangkan di Surau Al Mutmainnah, Jalan Pandan Perdana. - mStar Online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini
Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli