Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Elak IS, ditembak mati di AS

No Comment


Texas: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa menembak mati pengantin baru warga Iraq yang merakam gambar pemandangan ketika kali pertama melihat salji bersama isterinya, hanya beberapa minggu selepas tiba di Amerika Syarikat.

Nykerion ‘Kaca’ Nealon didakwa menembak Ahmed Al-Jumaili, 36, di luar blok kediamannya di Dallas, Texas pada 4 Mac lalu ketika mangsa bermain salji dengan isteri dan adik iparnya.

Sebelum kejadian, Nealon berada di kediaman teman wanitanya di bangunan berhampiran sebelum beberapa das tembakan tiba-tiba dilepaskan ke bangunan itu. Dia dan tiga rakannya kemudian bergegas keluar mencari penembak terbabit.

Jurucakap polis Jeff Cotner berkata, saksi melihat Ahmed sekeluarga di luar bangunan kediaman mereka sebelum Nealon tiba-tiba melepaskan tembakan.

“Saksi itu berkata, dia terus berlindung di sebalik peti surat selepas melihat Nealon mengacukan senapang. Dia kemudian mendengar beberapa tembakan dilepaskan,” katanya.

Nealon dan rakannya kemudian kembali ke rumah teman wanitanya dan membuat laporan polis berhubung kejadian tembakan yang berlaku sebelum itu.

Saksi akhirnya memberanikan diri menceritakan apa dilihatnya kepada polis enam hari selepas kematian Ahmed dan mendedahkan nama samaran Nealon, ‘Kaca’ yang dikaitkan dengan kejadian itu.

Dia turut mengaku berada di situ, namun menafikan pembabitannya.

Siasatan mengaitkan Nealon dengan kejadian itu manakala senapang yang digunakan di tempat kejadian ditemui di kediamannya.

Sementara itu, bapa mentua Ahmed, Mohammed Altaae berkata, menantunya itu datang ke Amerika Syarikat (AS) semata-mata mahu melarikan diri dari Iraq kerana takut dengan kebangkitan kumpulan Negara Islam (IS) ISIS.

Isterinya berada di AS sejak setahun lalu dan pasangan itu baru hidup bersama selama 20 hari sebelum kejadian.

Awal minggu ini, pihak berkuasa mengeluarkan rakaman pengawasan menunjukkan rentetan kejadian.

Dalam rakaman itu, Ahmed dilihat sempat bersembunyi di belakang sebuah trak ketika tembakan dilepaskan.

Bagaimanapun, dadanya terkena peluru yang menembusi kenderaan itu.

Ahmed sempat berlari dari tempat perlindungannya sebelum rebah dan dikejarkan ke hospital. Dia disahkan meninggal hari berikutnya. - Agensi

Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini
Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli