Banduan warga asing yang akan menjalani hukuman mati selepas rayuan ditolak. Atas dari kiri, warga Australia Myuran Sukumaran dan Andrew Chan; warga Perancis, Serge Atlaoui dan rakyat Brazil, Rodrigo Gularte. Bawah dari kiri, warga Nigeria, Raheem Agbaje Salami, rakyat Filipina, Mary Jane Fiesta Veloso, dan seorang lagi warga Nigeria, Silvester Obiekwe Nwolise.
JAKARTA: Kerajaan Indonesia menolak tawaran Australia untuk membuat pertukaran banduan bagi menyelamatkan dua warganegaranya yang dihukum mati di Indonesia berhubung kes pengedaran dadah.
Media-media utama di negara ini memetik Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali Jokowi berkata, Indonesia tetap menjaga hubungan baik dengan negara-negara jiran namun masih terdapat batasan yang perlu dihormati oleh semua pihak iaitu menghormati kedaulatan undang-undang sesebuah negara.
"Kedaulatan hukum tetap kedaulatan hukum, kedaulatan politik tetaplah kedaulatan politik," katanya.
Jokowi dilaporkan berkata demikian sebagai mengulas tawaran Menteri Luar Australia, Julie Bishop untuk menukar dua banduan warga negara Australia, Andrew Chan dan M.Sukumaran yang dihukum mati kerana kesalahan pengedaran dadah.
Beliau berkata, gejala penagihan dadah di negara ini adalah serius dan ia disebabkan oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang semakin berleluasa.
Katanya, hukuman mati tidak seharusnya hanya dilihat dari perspektif banduan terbabit tetapi juga mangsa-mangsa yang telah terkorban akibat dadah.
"Lihatlah berapa yang meninggal, generasi muda kita. Jangan selalu dilihat yang dihukum. Lihatlah korban-korbannya ... pada setiap tahun terdapat empat hingga lima juta orang yang terpaksa menjalani rawatan pemulihan dadah," katanya.
Siaran televisyen tempatan hampir setiap hari menyiarkan laporan secara langsung mengenai perkembangan hukuman tembak itu yang belum ditentukan tarikhnya.
Hukuman itu akan dilaksanakan di Lapangan Tembak di penjara Nusakambangan, di Jawa Tengah dan semua banduan terbabit sudah ditempatkan di bilik akhir penjara di pulau itu.
Di Indonesia, hukuman berkenaan dilaksanakan oleh pasukan penembak khas selepas waktu tengah malam. - mStar Online