Isu Seksi: Diana Danielle Jangan Perbodohkan Diri – Zed Zaidi
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi berpendapat artis-artis tanah air perlu lebih bijak berfikir dan tidak memperbodohkan diri sendiri dalam melakukan apa saja tindakan kerana secara tidak langsung ia boleh memberi implikasi buruk terhadap industri seni dan hiburan tempatan.
Menurut Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Jamil, 34, setiap artis harus berhati-hati menerima satu-satu tawaran mahupun sesi fotografi agar tidak dipergunakan mana-mana pihak.
Sekiranya, satu-satu tawaran itu dirasakan akan memberi implikasi negatif, artis berkenaan boleh merujuk kepada pihak persatuan.
"Kita sebagai artis janganlah sewenang-wenangnya biarkan diri diperalatkan oleh mana-mana pihak. Apa saja 'job' yang ditawarkan, itu rezeki masing-masing tetapi hati-hati.
"Artis juga seharusnya kaji terlebih dulu misalnya, kalau dituntut untuk melakukan sesuatu, artis itu harus tahu atas dasar apa dia perlu lakukan perkara itu?
"Kadang-kadang artis itu sendiri mungkin tidak tahu apa agenda di sebalik perkara yang mereka perlu lakukan itu. Persatuan ada sediakan khidmat kaunseling dan mereka boleh rujuk pada persatuan sama ada wajar atau tidak mereka menerima 'job' tersebut.
"Artis itu juga perlu fikir secara rasional, kalau sesuatu perkara itu tidak baik, janganlah buat. Kalau dia tahu yang dia pakai itu seksi dan sensitif, janganlah pakai.
"Sebab kalau ianya boleh memberi kesan negatif apatahlagi melibatkan sensitiviti masyarakat secara tidak langsung ia juga memberi implikasi yang tidak baik pada industri seni," katanya ketika dihubungi Malaysian Digest sebentar tadi.
Zed berkata sedemikian ketika diminta mengulas mengenai aksi berani pelakon Diana Danielle yang mencetuskan kontroversi.
Gambar yang dipaparkan dalam sebuah majalah gaya hidup lelaki itu mempelihatkan beberapa gaya Diana dalam keadaan seksi termasuklah gaya dia tampil bercoli sambil membaluti badan dengan bendera Amerika Syarikat.
Sejak semalam foto-foto tersebut menjadi 'viral' di laman sosial malah bintang filem Kami Histeria itu teruk dikecam banyak pihak.
Dalam pada itu Zed menyatakan persatuan tidak berhak untuk mengambil apa-apa tindakan tetapi berharap agar perkara sebegitu tidak akan berulang lagi dan berharap artis lain dapat menjadikan kontroversi tersebut sebagai pengajaran.
"Sebagai persatuan tanggungjawab kita adalah mempertahankan industri dan menjaga kebajikan artis-artis dan tidak akan biarkan artis diperalatkan oleh mana-mana pihak.
"Namun, dalam perkara ini, persatuan tidak ada hak untuk mengambil apa-apa tindakan dan kita juga tidak masuk campur soal peribadi tetapi kita ada tawarkan khidmat kaunseling.
"Saya berharap 'viral' tersebut dapat dihentikan dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga harus ambil peduli tentang fitnah dan perkara-perkara yang dimapulasi melalui Internet.
"Zaman sekarang ini apa saja penyebaran di Internet dengan mudahnya boleh menukar pemikiran masyarakat terhadap sesuatu perkara itu.
"Saya juga berharap yang kontroversi itu menjadi pengajaran dan contoh kepada artis lain dan janganlah perkara sebegini berulang," nasihatnya.
Mengenai tindakan Diana yang sehingga kini berdiam diri tanpa memberi sebarang penjelasan mengenai kontroversi yang mengaitkan dirinya itu, Zed menyokong tindakan isteri kepada pelakon dan pengarah Farid Kamil itu.
"Tentang apa yang sudah terlepas itu, kita maafkanlah dia (Diana).
"Tapi saya bersetuju dan sokong tindakan dia berdiam diri dan tidak bagi komen apa-apa sebab begini, cakap salah tak cakap pun salah.
"Kalau dia memberi penjelasan mungkin kenyataannya itu nanti akan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab dan keadaan akan jadi lebih buruk.
"Jadi, eloklah dia senyap dan biarlah perkara ini sejuk sendiri nanti," katanya. ─ MalaysianDigest
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini