Korea Utara Nafi Terbabit Kejadian Duta AS Dikelar
SEOUL – Korea Utara menolak dakwaan terlibat dengan kes serangan terhadap duta Amerika Syarikat (AS) ke Korea Selatan, Mark Lippert dan mengandaikan kejadian itu sebagai muslihat Seoul.
Jawatankuasa bagi Penyatuan Semula Keamanan Korea (CPRK) menganggap tuduhan itu sebagai percubaan untuk memfitnah kepimpinan Korea Utara.
“Polis dan media konservatif Korea Selatan bersubahat dengan rejim (Selatan) dalam usaha untuk mengaitkan kes tersebut dengan kami (Utara),” kata wakil CPRK dengan menggunakan gelaran rasmi Utara.
Pada insiden 5 Mac lepas, seorang lelaki bernama Kim Ki-jong telah mengelar Lippert dengan pisau dan menyebabkan duta AS itu terpaksa menerima 80 jahitan di mukanya.
Ki-jong, 55, yang ditahan serta-merta dan didakwa dengan tuduhan cubaan membunuh menafikan dirinya mempunyai kaitan dengan komunis Korea Utara.
Berdasarkan profil yang diambil daripada rekod lampau serta blog peribadinya, penyerang tunggal itu merupakan nasionalis tegar yang melihat AS sebagai salah satu halangan utama kepada penyatuan semula Semenanjung Korea.
Ki-jong memberitahu polis, serangan itu merupakan tanda protes terhadap penggabungan latihan tentera AS dan Korea Selatan yang sering dikritik Pyongyang sebagai satu konfrontasi melulu.
Dalam pada itu, Pyongyang memuji Ki-jong dan menyifatkan perbuatan itu sebagai ‘hukuman setimpal’ dan ‘luahan bantahan’ yang sepatutnya kepada latihan ketenteraan AS-Korea Selatan. – AFP
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini