Liberia siasat punca jangkitan mangsa terbaharu Ebola
MONROVIA: Pegawai kerajaan Liberia segera menjalankan siasatan bagaimana seorang pesakit terbaharu dijangkiti virus maut Ebola selepas beberapa minggu tiada kes jangkitan dicatatkan di negara itu.
Liberia sebelum ini menjadi negara paling ramai mencatatkan kematian akibat Ebola membabitkan 4,200 orang daripada lebih 10,000 kes kematian yang direkodkan di seluruh wilayah Barat Afrika.
Kali terakhir kes Ebola dilaporkan di Liberia pada 5 Mac lalu dan sehingga ini sudah 42 hari negara itu dikategorikan bebas Ebola.
Namun pada Jumaat lalu, pegawai berkata seorang pesakit dikenal pasti positif Ebola dan ia sekali gus mencetuskan kebimbangan baru kepada negara itu.
Malah pesakit terbabit juga dikatakan tidak berhubung dengan mana-mana mangsa jangkitan Ebola dan mengakui tidak pernah keluar melawat negara jiran yang dijangkiti wabak itu sama ada di
Sierra Leone atau Guinea.
Pemangku Pasukan Pengurusan Kes Ebola Liberia, Dr Francis Kateh, berkata pihak berkuasa kini mengkaji kemungkinan pesakit terbabit pernah menemui seseorang dari luar Liberia atau melakukan hubungan seks dengan mangsa yang terselamat.
Virus Ebola masih boleh didapati pada air mani seseorang yang terselamat sehingga tempoh tiga bulan, demikian menurut pihak berkuasa kesihatan. - AP
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini