New York merupakan metropolis pertama di Amerika Syarikat yang akan menjadikan dua perayaan besar orang Islam iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha sebagai cuti umum untuk sekolah.
Datuk Bandar New York, Bill de Blasio berikrar untuk menjadikan kota raya itu lebih toleran dan inklusif sambil menambah dasar baharu yang bakal diperkenalkan pada musim persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi sebagai satu lambang keadilan.
Pengumuman dibuat di Brooklyn di mana terdapat kira-kira 36 peratus pelajar tidak hadir ke sekolah semasa perayaan Aidiladha tahun lepas.
"Di sini hari ini, kami ini menunaikan janji kepada sahabat-sahabat Islam kami yang mana perayaan penting bagi orang Islam akan diiktiraf sebagai cuti umum di dalam kalendar persekolahan. Dengan itu, para pelajar boleh meraikannya tanpa perlu ponteng,” katanya.
Sekolah-sekolah di daerah lain seperti Vermont, Massachusetts dan New Jersey sudah pun menjadikan perayaan Muslim itu sebagai cuti umum sekolah dan New York menjadi bandar terbesar yang melaksanakannya. - MalaysiaGazette