Perhimpunan kemuncak 'Kita Lawan' berlangsung petang ini
Menara Maybank, Pasar Seni, Masjid Jamek dan Ibu Pejabat Pos Besar menjadi empat hentian untuk peserta demonstrasi 'Kita Lawan' berkumpul dan berarak sebelum kemuncak perhimpunan di pusat membeli belah Sogo yang dijadualkan berlangsung pada petang Sabtu.
Menurut laman Facebook rasmi 'Kita Lawan', beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) akan berada di setiap lokasi bermula pukul 3 petang ini sebelum memulakan perarakan ke pusat membeli belah berkenaan.
"Tema adalah warna hitam. Petugas keselamatan Unit Amal dan Skuad AMK, kecemasan (medic team) dan peguam (urgent arrest) akan diaktifkan," kata laman itu.
Perhimpunan itu adalah sebagai reaksi terhadap keputusan pemenjaraan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Februari lepas.
Dalam pada itu, laman Facebook berkenaan turut menyatakan beberapa panduan kepada peserta perhimpunan termasuk barangan yang perlu dibawa semasa perhimpunan berkenaan.
"Peserta perlu membawa kad pengenalan, lesen memandu, satu kad ATM dan duit maksimum RM100 sahaja," jelas laman berkenaan.
Selain itu kata laman berkenaan, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa melalui Facebook https://www.facebook.com/KitaLawanOfficial atau Twitter @KitaLawan_my
Sebelum ini, KetuaPolis Daerah Dang WangiACP Zainol Samah meminta orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu di ibu negara hari ini.
Kata Zainol, perhimpunan tersebut melanggar undang-undang dan mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan kerana ia bercanggah dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.
Tegas Zainol, penganjur gagal menghantar notis untuk mengadakan perhimpunan seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 dan polis boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat kerana mengganggu ketenteraman awam.
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini