Prayut gurau kasar ugut wartawan
Bangkok: Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha mengugut mengenakan hukuman berat terhadap wartawan tempatan ekoran laporan media mengenai konflik antara dua menteri tertinggi dan pemerdagangan manusia di Thailand.
Malah ditanya apa bentuk hukuman boleh dikenakan, Prayut dengan sinis berkata dia boleh melaksanakan hukuman gantung jika terus dicabar.
Sebelum berlepas ke Brunei kelmarin, Prayut mengingatkan wartawan dia masih berkuasa di bawah Majlis Keamanan Dan Ketenteraman Awam (NCPO).
Berikutan itu, Prayut menafikan laporan media mengenai perselisihan faham antara menteri selain menyangkal spekulasi mengenai rombakan Kabinet.
“Kamu (media) yang membangkitkan isu rombakan. Beritahu saya adakah rombakan mampu memperbaiki apa-apa?
“Kami sudahpun memberikan kamu kebebasan bersuara tanpa sekatan yang tidak pernah dirasai sebeum ini. Jadi mulai sekarang saya sendiri akan memantau semua media dan menggunakan kuasa saya jika perlu,” katanya.
Apabila ditanya bagaimana beliau akan menangani pihak media, Prayut menjawab: “Mungkin dengan hukuman gantung. Jangan tanya soalan bodoh. Media hanya perlu berhati-hati dan berpegang pada etika.”
Prayut menggesa wartawan media untuk berjumpa pihaknya dengan cara baik tanpa membuat laporan melulu kerana mereka tidak bertanggungjawab jika berlaku sesuatu yang buruk. - Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini