Susi Pudjiastuti Berang Nelayan Ceroboh Perairan Indonesia Dilepas Dengan Hukuman Ringan
Jakarta: Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti semalam menitiskan air mata kerana terlalu marah selepas sebuah kapal nelayan yang dirampas kerana menangkap ikan secara haram di perairan di negara itu hanya dikenakan hukuman ringan.
Kapal Hai Fa yang didaftarkan di Panama dianggap sebagai kapal nelayan yang paling banyak mencuri hasil perikanan di Indonesia.
Bagaimanapun, kapal itu hanya didakwa cuba menyeludup hidupan marin dan dikenakan denda sebanyak Rp200 juta (RM56,311) atau enam bulan penjara terhadap kapten kapal.
“Apabila diteliti hasil yang dikaut kapal berkenaan, keputusan mahkamah itu sangat mengecewakan,” kata Susi.
Tegasnya, beliau tidak dapat menerima jumlah denda yang dikenakan terhadap kapal itu dan mahu satu semakan terhadap keputusan berkenaan dilakukan.
“Saya mahu siasatan dilakukan semula terhadap keputusan mahkamah berkenaan.
“Kenapa kapal itu hanya dikenakan denda seperti itu,” katanya dengan marah.
Susi berkata, beliau sangat komited untuk membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram tetapi keputusan mahkamah itu membuatkan dia berasa sedih.
Menurutnya semalam, undang-undang membasmi penangkapan ikan secara haram dikuatkuasakan demi kesejahteraan rakyat Indonesia.
“Undang-undang ini adalah ikrar negara untuk membasmi aktiviti itu dan menegakkan kedaulatan negara dengan melindungi sumber lautnya.
“Sekiranya aktiviti ini tidak dihapuskan sebarang program pembangunan nelayan tidak akan mendatangkan sebarang hasil,” tegasnya. - Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini