26 Tahun Berkahwin Masih Makan Sepinggan Nasi Bersama
Jakarta: Walau sudah beranak dua, sepasang suami isteri Sugiman dan Yati yang sudah 26 tahun berkahwin berkata, mereka hingga kini masih makan sepinggan.
Menurut Yati, dia dan suaminya mula berbuat demikian pada hari perkahwinan mereka di depan tetamu pada 1986.
“Dan hingga hari ini, setiap hari, kami tetap makan sepinggan. Kadang kala kami menyuap satu sama lain. Tidak kiralah di mana, di rumah mahupun di kedai,” kata wanita itu ketika ditemui makan bersama suaminya di sebuah kedai di Jakarta Barat, tempat dia berniaga baru-baru ini.
Menurutnya, dia tidak kekok atau malu berbuat demikian walaupun kadang kala diketawakan oleh kedua-dua anak mereka yang sudah dewasa.
“Ia menjadikan kasih sayang antara kami bertambah erat dari sehari ke sehari.
Menurut Sugiman, setiap hari, setidak-tidaknya sekali mereka akan meluangkan waktu makan sepinggan bersama. Ketika ini, kami berbuat demikian sebelah malam, selepas berniaga.
Yati berkata, suaminya sering tidak dapat menghabiskan makanan jika makan seorang diri.
“Dia lebih berselera jika saya juga makan bersama-samanya. Kadang kala saya terpaksa menyuapnya. Dia juga menyuap saya,” kata wanita itu.
Dia juga berkata, mereka tetap akan makan sepinggan walaupun ketika bergaduh dan bermasam muka.
“Memang sudah menjadi lumrah dalam kehidupan rumah tangga, ada kalanya kami bergaduh. Kadang kala sampai seminggu tak bercakap. Tetapi kami tetap makan sepinggan,” kata Yati sambil ketawa. - Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini