Dewan Rakyat: Harga Tuala Wanita Naik Selepas GST - Pembangkang
KUALA LUMPUR: Isu harga tuala wanita terus menjadi perhatian Dewan Rakyat apabila kali ini seorang Ahli Parlimen pembangkang mendakwa harga keperluan bulanan kaum wanita itu mengalami kenaikan selepas cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mula dilaksanakan pada Rabu.
Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching mendakwa kenaikan harga tuala wanita yang berlaku sejak Rabu adalah bertentangan dengan jaminan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.
"Kotec Soft & Smooth Slim sepuluh keping kini dijual pada harga RM3.39 berbanding sebelum ini iaitu RM3.14. Selain itu tuala wanita jenama Libresse Maxi Non Wings sepuluh keping yang sebelum ini dijual pada harga RM2.94 telah naik kepada RM3.19.
"Perbezaan ini menunjukkan harga hampir kesemua tuala wanita makin mahal bukan menunjukkan penurunan. Ini jelas berbeza dengan janji Datuk Seri Ahmad Husni," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen pada Khamis.
Sebelum ini Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Bintulu, Datuk Tiong King Sing menyuarakan luahan hati kaum wanita di kawasan beliau yang risau terpaksa membayar harga lebih tinggi bagi tuala wanita apabila GST dilaksanakan.
Bagaimanapun ketika sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 25 Mac lalu, Ahmad Husni memberi jaminan bahawa harga tuala wanita tidak akan mengalami kenaikan selepas pelaksanaan GST.
Ini kerana, sebelum ini tuala wanita dikenakan cukai jualan sebanyak 10% dan akan mengalami penurunan melalui GST yang hanya mengenakan 6% kadar cukai.
Panduan Harga Pengguna yang dikendalikan Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan juga menyatakan harga tuala wanita akan mengalami 2% penurunan. - mStar Online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini