Filipina tamat operasi buru anggota BIFF
Mamapasano (Filipina): Tentera Filipina semalam menamatkan operasi besar-besaran selama lima minggu terhadap sebuah kumpulan pemisah Islam di sini.
Pengumuman itu membolehkan kira-kira 90,000 penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat pertempuran berkenaan pulang semula ke rumah.
Penduduk di bandar ini bertepuk tangan dan bersorak selepas ketua angkatan tentera Filipina, Gregorio Pio Catapang memberitahu bahawa mereka boleh pulang semula ke rumah dan ladang masing-masing.
Bagaimanapun, Catapang berkata, tentera akan terus memburu saki baki anggota kumpulan Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF).
“Kami akan menghantar renjer untuk terus memburu anggota kumpulan ini kerana mereka bergerak pada waktu malam.
“Askar kami akan pergi ke lokasi anggota kumpulan itu dikesan,” katanya.
Beberapa anggota BIFF didakwa menjadi dalang dalam pertempuran yang membunuh 44 anggota komando polis yang memburu suspek militan pada Januari lalu.
Tentera Filipina berkata, mereka berjaya membunuh 139 pemberontak, menawan kilang membuat bom, tempat persembunyian dan membunuh beberapa pemimpin menyebabkan kumpulan itu berpecah kepada kumpulan kecil.
“Kami meninggalkan rumah kami setiap kali pertempuran tercetus di kampung.
“Saya mahukan keamanan dan menyokong Rang Undang-Undang Bangsamoro supaya keamanan serta pembangunan dapat dilakukan di tempat kami,” kata seorang petani berusia 45 tahun, Karo Kasin.
Rang Undang-Undang Bangsamoro bertujuan mewujudkan wilayah autonomi di selatan negara itu sekali gus memberikan penduduk Islam di situ lebih kuasa politik dan ekonomi. - Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini