Johor Bahru : Kecurigaan orang kampung dan kakitangan klinik kesihatan terhadap pasangan suami isteri yang mempunyai empat anak di Mukim Sungai Tiram di sini, akhirnya terjawab apabila Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan mereka kerana disyaki tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah.
Wanita berusia 27 tahun bersama lelaki 40-an itu ditahan dalam pemeriksaan yang dijalankan kira-kira jam 11.30 malam kelmarin di rumahnya selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen berhubung dakwaan mereka berkahwin pada 2009.
Dalam operasi diketuai Pegawai Penguat Kuasa JAINJ Khairudin Mat Ali bersama tiga pegawai itu mendapati lelaki yang berasal dari Deli, Indonesia itu tidak mempunyai pasport atau sebarang dokumen pengenalan diri.
Ketika diperiksa, wanita yang sarat mengandung lapan bulan itu mendakwa berkahwin dengan lelaki itu pada 2009 dengan berwalikan bapa kandungnya sendiri dan disaksikan saudara terdekat di Taman Rinting di sini, namun mengatakan kebanyakan mereka sudah meninggal dunia.
“Betul, kami sudah berkahwin, tetapi saksi perkahwinan kami ramai sudah meninggal dunia termasuk ayah saya sendiri.
“Memang kami berkahwin selepas melahirkan anak sulung yang juga anak luar nikah, tetapi anak-anak kami yang lain sah tarafnya,” katanya yang mempunyai anak berusia tujuh, lima, empat dan tiga tahun itu.
Ketika pemeriksaan, pasangan berkenaan memberitahu banyak dokumen penting berhubung perkahwinan dan kelahiran anak mereka disimpan di tempat lain dan bukan di rumah berkenaan namun akhirnya mengaku tidak mempunyai sijil nikah dengan alasan mempunyai masalah tertentu.
Penghulu Mukim Sungai Tiram Norazman Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung keluarga berkenaan daripada orang kampung yang meragui mereka.
“Mereka dikatakan berpindah ke kawasan ini sejak empat tahun lalu dan risikan dilakukan mendapati wanita berkenaan dibuang keluarga.
“Kami turut ke klinik kesihatan tempat rekod perubatan anak-anak kelahiran mereka dan difahamkan, pihak klinik meragui pasangan itu apabila mereka berdolak-dalik ketika diminta menyerahkan salinan kad pengenalan dan sijil nikah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAINJ Mohd Zamri Kambari ketika dihubungi mengesahkan penahanan pasangan itu dan memberitahu siasatan selanjutnya akan dijalankan.
“Siasatan terperinci dijalankan untuk menentukan status anak-anak pasangan itu sama ada sah, tidak sah atau subahah,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menahan lelaki berkenaan untuk membantu siasatan, manakala atas dasar kebajikan kanak-kanak berkenaan serta wanita terbabit diserahkan notis untuk hadir ke pejabat JAINJ sebelum 6 April ini.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 atau 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana persetubuhan luar nikah atau khalwat yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tiga tahun, jika sabit kesalahan.