KUALA LUMPUR: Berikutan kes bantahan penduduk Kampung Medan yang menuntut lambang salib diturunkan di Petaling Jaya ahad lalu, kes tersebut akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kes ini telah dirujuk kepada pihak Peguam Negara dan beliau akan menentukan sama ada kes itu boleh didakwa di bawah Akta Hasutan atau sebaliknya.
“Penilaian sama ada (mereka terbabit) melakukan kesalahan, itu bukan soal polis dan bukan soal individu tertentu, ia adalah soal yang diserah bulat-bulat kepada Peguam Negara.
“Satu, mesti ada laporan, yang kedua ada penyiasatan (pihak polis), dan penyiasatan itu lengkap, kertas siasatan itu dimajukan kepada Peguam Negara (untuk buat keputusan),” katanya.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa perserta demontrasi menuntut lambang salib diturunkan tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan kerana ia melibatkan sensitiviti agama.
Tetapi jawapan berbeza diterima dari Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengatakan demontrasi tersebut bukan tertakluk di bawah akta hasutan kerana tiada unsur jenayah dan kekerasan dalam kejadian tersebut.
Khalid turut berkata ia dilakukan atas permintaan masyarakat dan dipersetujui oleh pihak gereja. Beliau turut memberitahu pihak polis tidak akan bersikap berat sebelah dalam menguat kuasa undang-undang sekiranya terdapat sebarang perkara yang melanggar undang-undang. - Siakapkeli.com.my