Isu Tambang Bas Ekspres: Pembawa Tuntut Pendirian Sebenar Kerajaan
PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Semenanjung Malaysia (Pembawa) menuntut kerajaan menyatakan pendirian sebenar mereka berhubung isu tambang bas ekspres yang masih belum bernoktah sehingga hari ini.
Yang Dipertuanya, Tajuddin Mohd Yunus berkata, tindakan kerajaan menangguhkan kadar tambang baharu bas ekspres yang diumumkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Mac lalu disifatkan sebagai ada agenda tersembunyi.
"Jika penangguhan itu hanya bersifat sementara, tidak mengapa tetapi saya lihat penangguhan tersebut seperti ada agenda tertentu. Keputusan sekarang masih samar. Adakah kerajaan sebenarnya bersetuju menaikkan kadar tambang bas ekspres atau sebaliknya?," soalnya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.
Beliau berkata, penetapan kadar baharu itu harus dilaksanakan segera selepas beberapa siri penangguhan dibuat sebelum ini.
"Dulu tangguh kerana ingin beri laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13, kemudiannya pada Hari Raya, selepas itu Tahun Baharu Cina dan sekarang GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) yang akan berkuatkuasa mulai 1 April ini," katanya.
Malah Tajuddin berkata, beliau khuatir lebih banyak pengusaha bas akan gulung tikar sekiranya keputusan berhubung penangguhan kadar tambang baharu itu tidak dimuktamadkan segera.
"Sesuatu yang sangat saya bimbang ialah pada 1978, semasa saya mulakan perniagaan ini terdapat lebih 80 peratus pengusaha terdiri daripada orang Melayu. Tapi sekarang hanya tinggal 20 peratus sahaja termasuk Transnasional," katanya.
Susulan itu, Tajuddin menegaskan beliau terpaksa menghantar memorandum kepada lima kementerian yang didakwa membantah kenaikan tambang bas ekspres untuk menyelesaikan isu tersebut.
Memorandum tersebut dihantar menggunakan perkhidmatan kurier Poslaju pada Rabu.
Lima kementerian itu adalah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Belia dan Sukan dan Jabatan Perdana Menteri.
"Saya tiada pilihan lain. Sebagai Yang Dipertua Pembawa, ini jalan terakhir untuk membela nasib pengusaha Melayu. Tolonglah pertimbangkan inti pati memorandum ini dan umumkan pendirian anda dengan segera," katanya.
Antara isi kandungan memorandum tersebut menjelaskan beberapa memorandum yang telah dikemukakan kepada SPAD dan perdana menteri untuk mengkaji semula kadar tambang bas ekspres sedia ada selepas kali terakhir penyelarasan tambang dibuat pada 2008.
Tajuddin berkata, kenaikan tersebut wajar kerana pengusaha bas menanggung kos yang tinggi dalam operasi perkhidmatan bas ekspres yang membabitkan kos alat ganti dan tayar, bahan api, gaji pemandu dan insurans.
"Kami amat mengharapkan kenaikan tambang ini kerana perlu menanggung peningkatan pelbagai kos. Daripada lebih 200 syarikat bas sedia ada, hanya tinggal 40 syarikat yang dimiliki oleh pengusaha Melayu. Jadi fikirkanlah nasib orang Melayu dalam industri ini," katanya.
SPAD pada 19 Mac lalu mengumumkan kadar tambang baharu bagi pengangkutan awam melibatkan teksi dan bas ekspres ekoran peningkatan kos sebanyak 33 peratus.
Bagaimanapun, kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan kadar tambang baharu bas ekspres hingga ke suatu tarikh yang belum ditetapkan, manakala tambang baharu teksi diteruskan.
Menurut sumber, keputusan penangguhan tersebut dibuat kerana kenaikan tambang itu dilihat bukan waktu yang sesuai untuk melaksanakannya.
“Kabinet bersetuju untuk menangguhkan (kenaikan tambang). Masa tidak sesuai,” kata
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini