Kecam hukuman hina raja
Bangkok: Kumpulan hak asasi manusia semalam mengecam mahkamah tentera Thailand kerana menjatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun terhadap seorang ahli perniagaan kerana menghina institusi diraja negara itu di laman Facebook.
Hukuman yang dijatuhkan terhadap Theinsutham Suthijittaseranee, 58, itu dipercayai yang paling berat bagi kesalahan menghina raja.
Beberapa pihak sebelum ini bimbang dengan rancangan ketua junta untuk menggantikan undang-undang tentera di negara berkenaan dengan satu undang-undang baru yang masih mengekalkan kuasa tentera.
Peguam Theinsutham semalam berkata, mahkamah kelmarin menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun untuk setiap satu daripada lima dakwaan mengeluarkan kenyataan menghina keluarga diraja Thailand di Facebook.
Hukuman berkenaan dikurangkan kepada separuh selepas tertuduh mengaku bersalah tetapi ia masih dianggap sebagai yang paling berat yang dikenakan kerana kesalahan terbabit.
“Setakat yang kami tahu, hukuman penjara berkenaan adalah yang paling berat.
“Keputusan berkenaan diragui kerana dia diputuskan oleh tribunal tentera Thailand.
“Melihat kepada umur tertuduh, hukuman berkenaan boleh disamakan seperti hukuman penjara seumur hidup,” menurut pengarah Suruhanjaya Antarabangsa untuk Pakar Undang-Undang, Sam Zarifi dalam satu kenyataan, semalam. - AFP
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini