Padah jika gantung rakyat kami: Duta Perancis
Jakarta: Duta Perancis ke Indonesia, Corinne Breuze semalam memberi amaran kepada Jakarta bahawa hubungan dua hala kedua-duanya negara itu akan menerima akibat sekiranya hukuman mati terhadap seorang pesalah dadah warganegara itu diteruskan.
“Sekiranya hukuman berkenaan dijalankan, kesannya adalah kepada hubungan dua hala kami,” kata Breuze di sini semalam.
Ujarnya, Perancis yang menghapuskan hukuman mati pada 1981 menentang hukuman berkenaan walau apapun keadaannya.
Pesalah warga Perancis, Serge Atlaoui, 51, ditahan berhampiran Jakarta pada 2005 di sebuah makmal rahsia menghasilkan pil ekstasi.
Atlaoui kemudian dijatuhi hukuman mati pada 2007.
Bapa kepada empat anak itu mengaku tidak bersalah dan memberitahu dia hanya memasang peralatan industri di lokasi berkenaan.
Atlaoui membuat rayuan di Mahkamah Agung Indonesia yang dijangka membuat keputusan tidak lama lagi.
Sementara itu, isteri Atlaoui, Sabine yang kini berada di Jakarta, merayu kepada Jokowi dan memberitahu suaminya tidak patut dihukum mati serta keluarganya kini mengalami penderaan emosi.
“Seorang pegawai di pejabat pendakwa raya Indonesia meminta ukuran badan suami saya bagi menempah kerandanya.
“Permintaan itu sangat tidak masuk akal ketika kami sedang berdepan dengan situasi seperti ini,” katanya. - AFP
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini