Pamer serpihan MH17 di muzium
Moscow: Sebuah muzium Russia merancang mempamerkan serpihan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine tahun lalu sebagai sebahagian daripada pameran yang menandakan 70 tahun kemenangan Kesatuan Soviet pada Perang Dunia Kedua.
Akhbar tempatan di daerah Azov melaporkan, serpihan kapal terbang berkenaan ditemui penduduk tempatan dari pekan Rassypnoye di Ukraine, tidak jauh dari lokasi pesawat jatuh.
Penduduk kemudian menyerahkannya kepada pasukan veteran Russia, Combat Brotherhood, sebagai ucapan terima kasih atas sumbangan bantuan dihulurkan seperti makanan, pakaian dan ubatan kepada mereka.
Serpihan pesawat itu akan diserahkan kepada Yeisk, sebuah bandar di pesisiran Laut Azov untuk menjadi sebahagian daripada pameran bertemakan Combat
Brotherhood sempena pembukaan muzium baru dalam sambutan ulang tahun ke-70 kemenangan Kesatuan Soviet di Eropah.
Stesen radio Ekho Moskvy memetik wakil tempatan Combat Brotherhood sebagai berkata, bahagian pesawat itu akan dipamerkan sebagai ‘bukti’ pejuang pemisah di rantau Donetsk Ukraine tidak menembaknya.
Artikel akhbar terbabit menyiarkan gambar lelaki sedang memegang serpihan pesawat dengan logo Malaysia Airlines yang dapat dilihat dengan jelas.
Timbalan pengarang Ekho Moskvy, Tatiana Felgenhauer menulis di akaun Twitternya bahawa penyiasat Belanda yang menyiasat dan mengumpul serpihan daripada bangkai pesawat terkejut apabila mengetahui bahawa ada yang ‘tersesat’ ke pekan berkenaan.
“Mereka (penyiasat) bertanya bagaimana ia boleh berlaku,” katanya. - Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini