Pegawai kastam Thai layan pembatu rumah macam hamba
Nonthaburi: Seorang pegawai kanan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bakal disoal siasat polis minggu hadapan selepas pembantu rumahnya warga Ethiopia mendakwa dilayan seperti hamba.
Selepas berjaya melarikan diri dari majikannya, mangsa dikenali sebagai Annet, 24, membuat laporan terhadap Yonas Tegegn dan isteri yang juga berasal dari Ethiopia 18 Mac dan Selasa lalu dengan bantuan jawatankuasa kecil hak asasi manusia di bawah Majlis Peguam Thailand.
Peguam, Surapong Kongchantuk mendakwa Dr Tegegn dan isterinya menahan dan melayan Annet seperti hamba selain dituduh melakukan penyeludupan manusia.
Menurut Surapong, Annet bertemu pasangan itu melalui ejen di negara asal pada 2011 sebelum bersetuju bekerja untuk mereka pada 2012 apabila pasangan itu berpindah ke Thailand pada Julai tahun berikutnya.
Pasangan itu turut bersetuju membayar 2,000 birr (RM 360) setiap bulan kepada keluarga Annet di Ethiopia, namun keluarga Annet mendakwa menerima 5,000 birr (RM 900) sepanjang lima bulan pertama dia bekerja. Selepas itu baik Annet mahupun keluarganya tidak lagi menerima bayaran.
Menurut Annet, pasangan itu memaksanya bekerja dari jam 5 pagi hingga lewat malam setiap hari. Dia juga tidak diberi cuti dan bayaran kerja lebih masa serta pasportnya dirampas.
Kadangkala dia juga tidak diberi makan selain tinggal di bilik kecil yang dikongsi bersama anjing. Badannya dipenuhi parut dipercayai akibat didera.
Dia melarikan diri dari rumah majikannya 8 Mac lalu selepas bekerja selama setahun tujuh bulan.
Dia diperkenalkan kepada sebuah NGO tempatan selepas ditemui menangis di tepi jalan oleh seorang lelaki yang juga warga Ethiopia. - Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini