Remaja cela Kuan Yew didakwa
Singapura: Seorang remaja berusia 16 tahun didakwa di mahkamah di sini semalam atas tuduhan memuatnaik bahan yang menghina penganut Kristian dan kenyataan mencela bekas Perdana Menteri Lee Kuan Yew di Internet.
Amos Yee Pang Sang berdepan dengan tiga tuduhan yang dilakukannya pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Remaja itu yang tidak diwakili peguam, didakwa cuba menyakiti perasaan penganut Kristian dengan sengaja.
Dia juga didakwa memuatnaik imej tidak senonoh mendiang Lee dan Margaret Thatcher, bekas Perdana Menteri Britain.
Tuduhan ketiga mendakwa dia membuat klip video mengandungi kenyataan mengenai Lee dengan tujuan mencetuskan kemarahan mereka yang mendengar dan melihatnya.
Antara kenyataan yang dibuatnya ialah ‘berambuslah’ selain menyatakan dia berharap mendiang Lee tidak tenteram di dalam kubur.
Amos memberitahu mahkamah, dia akan mendapatkan khidmat peguam selepas ini.
Timbalan pendakwa raya Hon Yi meminta mahkamah mengarahkan Amos tidak memuatnaik atau mengedar sebarang komen dalam talian sementara kesnya masih belum selesai.
Bagaimanapun, permohonan pendakwa raya itu supaya Amos melapor diri di balai polis setiap hari ditolak oleh Hakim John Ng.
Ketika hakim itu bertanya kepada Amos sama ada dia faham bahawa dia tidak boleh memuatnaik apa-apa ke Internet, remaja itu menjawab “Ya, Tuan.”
Praperbicaraan kes ditetapkan pada 17 April ini.
Amos ditahan kelmarin dan bapanya memberitahu wartawan, dia mengambil kesempatan itu untuk meminta maaf kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong. - Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini