Serbu syarikat bocorkan soalan Ujian Nasional
Jakarta: Polis kelmarin menyerbu sebuah pejabat syarikat percetakan milik negara di Jakarta Tengah selepas menerima laporan daripada Kementerian Pelajaran mengenai kecurian kertas soalan peperiksaan Ujian Nasional yang kemudian dimuatnaik ke Internet.
Jurucakap polis Agus Rianto berkata, pihaknya menerima aduan daripada kementerian berkenaan Selasa lalu mengenai kebocoran soalan berkenaan.
Menurutnya, serbuan kelmarin disasarkan terhadap pejabat Percetakan Negara selepas menerima maklumat daripada kementerian itu yang mendakwa ada kakitangan syarikat berkenaan terbabit.
Beberapa peralatan komputer, pengimbas dan rakaman CCTV dirampas untuk dijadikan bukti.
Dia bagaimanapun tidak menamakan suspek tetapi berkata, mereka akan berdepan dengan tuduhan menurut Undang-Undang Maklumat dan Transaksi Elektronik.
Dalam kenyataannya, Percetakan Negara bagaimanapun berkata, kakitangannya tidak terbabit dalam perbuatan itu.
“Kami bukan satu-satunya syarikat yang mencetak soalan peperiksaan berkenaan,” katanya.
Kebocoran soalan itu didedahkan oleh Persatuan Guru Persekutuan Indonesia yang membuat laporan kepada kementerian berkenaan selepas menerima laporan mengenai orang ramai memuatturun soalan peperiksaan berkenaan.
Kejadian itu menarik perhatian Naib Presiden Jusuf Kalla yang mengarahkan sekolah yang menerima versi soalan yang bocor itu mendudukinya semula.
Menteri Kebudayaan dan Pelajaran Dasar dan Menengah Anies Baswedan semalam berkata, sekolah terbabit terletak di Aceh dan Yogyakarta.
“Kementerian menyediakan ribuan pakej soalan untuk daerah berbeza. Soalan yang bocor berlaku Aceh dan Yogyakarta,” katanya. - Harian Metro
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini