Tuan Ibrahim Dahului Pencalonan No.2 PAS
PETALING JAYA: Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendahului perebutan untuk jawatan Timbalan Presiden dengan memperolehi lebih banyak pencalonan daripada penyandangnya, Mohamed Sabu.
Tuan Ibrahim memperoleh 14 pencalonan daripada 175 bahagian menjelang pemilihan yang akan diadakan pada Jun ini.
Mohamed atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu memperoleh enam pencalonan.
Pemilihan PAS pada tahun ini lebih menarik berikutan terdapat kemungkinan kerusi Persiden akan dicabar.
Walaupun Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang mendahului dengan 18 pencalonan untuk mempertahankan jawatan tersebut, penyandang Naib Presiden Datuk Husam Musa menerima tiga pencalonan untuk mencabar Presiden.
Buat pertama kalinya dalam tempoh 33 tahun pencabar berpotensi untuk jawatan Presiden dicalonkan, walaupun Husam belum mengesahkan sama ada beliau akan mencabar Abdul Hadi untuk jawatan No.1 dalam parti itu.
Penyingkiran Tan Sri Mohamed Asri Muda pada 1982 merupakan kali terakhir kerusi tertinggi itu dicabar.
Asri digantikan oleh Yusof Rawa.
Sejak itu, kerusi tersebut yang diterajui Yusof kemudiannya diambil alih Datuk Fadzil Noor dan seterusnya Abdul Hadi yang menang tanpa bertanding.
Abdul Hadi berdepan kritikan terutamanya daripada DAP berhubung niatnya untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan yang menyebabkan keretakan hubungan di dalam Pakatan Rakyat.
Ahli Parlimen Marang itu menerima pencalonan dari bahagian Shah Alam, Kuala Kedah, Kluang, Alor Gajah, Kuala Krau, Besut, Rompin, Kota Raja, Putrajaya, Kulai, Pulai, Wangsa Maju, Jerantut, Kota Kinabalu, Batu Gajah, Hulu Terengganu, Kuala Langat dan Sabak Bernam.
Husam pula mendapat pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden dari bahagian Kota Tinggi, Batu Sapi, Segamat, Teluk Kemang dan Seremban.
Timbul spekulasi bahawa Tuan Ibrahim dikatakan akan bersama-sama Abdul Hadi bertanding jawatan tertinggi dalam parti itu bagi mempertahankan dominasi kumpulan pro-ulama.
Ketua PAS Putrajaya Kamaruzaman Mohamed berkata bahagian tersebut sebulat suara mencalonkan Hadi dan Tuan Ibrahim bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dengan menyatakan tiada calon yang lebih baik untuk mengetuai parti itu selain Abdul Hadi.
"Kami percaya PAS akan menjadi lebih kuat dalam meneruskan perjuangan Islam. Tiada orang yang lebih baik untuk membantu Presiden selain Tuan Ibrahim," kata Kamaruzaman.
Ketika dihubungi, Tuan Ibrahim yang juga Persuruhjaya PAS Pahang berkata beliau hanya akan mengumumkan keputusannya untuk mencabar Mat Sabu sebaik sahaja semua bahagian menyerahkan pencalonan mereka.
"Bagaimanapun saya bersyukur dan terharu dengan sokongan akar umbi parti," katanya.
Pencalonan untuk pemilihan parti itu akan ditutup pada hujung bulan ini. - mStar Online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini