120 Jemaah Masjid Maut Akibat Bom Berani Mati Ketika Solat Jumaat
KANO - NIGERIA. Sekurang-kurangnya 120 orang terbunuh dan 270 yang lain cedera apabila dua pengebom berani mati meletupkan diri semasa solat Jumaat di sebuah masjid di utara Nigeria.
Serangan ke atas Masjid Besar di Kano, bandaraya di kawasan majoriti penduduk Islam itu dilancarkan ketika solat Jumaat baru bermula.
Dalam insiden itu, beberapa lelaki bersenjata turut melepaskan tembakan rambang.
Jurucakap polis kebangsaan, Emmanuel Ojukwu memberitahu AFP bahawa penyerang berkenaan meletupkan diri secara berturut-turut sebelum beberapa lelaki bersenjata menembak jemaah masjid yang cuba melarikan diri.
"Saya tidak mengetahui sama ada penyerang berkenaan lelaki atau wanita selepas beberapa serangan membabitkan pengebom nekad wanita sejak beberapa bulan lalu," katanya.
Sementara itu, bilik mayat di Hospital Pakar Murtala Mohammed dibanjiri orang ramai yang berpusu-pusu membuat pengecaman jenazah.
“Beratus orang memasuki bilik mayat yang gelap dengan membawa lampu suluh untuk membuat pengecaman mayat,” jelas koresponden dalam laporan Channel News Asia.
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini