Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Jurujual Kereta Didenda RM10,500 Hina Polis

No Comment
TAN KENG HONG dibawa keluar dari bangunan Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, semalam selepas didenda RM10,500 atas kesalahan menghina anggota polis trafik menerusi akaun facebook miliknya September lalu. Foto: Utusan

MELAKA 20 Nov. - Seorang jurujual kereta didenda sebanyak RM10,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menghina anggota polis trafik dan menggunakan laman sosial untuk memuat naik status menghina, September lalu.

Majistret Norina Maludin menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Keng Hong, 32, dari Taman Cheng Utama di sini.

Mengikut pertuduhan pertama, Keng Hong didakwa dengan sengaja menghina sehingga membangkitkan kemarahan terhadap anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dengan niat untuk mengganggu ketenteraman awam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa telah memulakan komunikasi dengan menggunakan perkhidmatan laman sosial Facebook tanpa mendedahkan identiti dengan niat untuk mengganggu anggota polis yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(B) Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan Keng Hong di Jalan Melaka Raya 8, Taman Melaka Raya di sini antara pukul 11.30 pagi dan 11.30 malam, 25 September lalu.

Terdahulu, peguam Ng Aik Beng memohon supaya anakguamnya dikenakan denda minimum kerana pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah selain telah insaf.

“Tertuduh hanya bekerja sebagai jurujual kereta dengan pendapatan RM2,000 sebulan dan perlu menanggung isteri, dua anak serta ibu bapanya,” kata Aik Beng.

Timbalan Pendakwa Raya Norsyazwani Ishak bagaimanapun memohon hukuman berat dikenakan kerana tindakan tertuduh itu bukan sahaja menghina penjawat awam berkenaan bahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merupakan badan uniform membanteras jenayah.

Norina memerintahkan tertuduh didenda RM3,500 atau penjara empat bulan bagi pertuduhan pertama dan denda RM7,000 atau penjara enam bulan bagi pertuduhan ke­dua. Tertuduh membayar kedua-dua denda itu.

Berdasarkan fakta kes pada hari kejadian, dua anggota polis trafik yang dinyatakan dalam status Facebook tertuduh telah dipanggil oleh Ketua Balai Trafik Melaka Tengah.

Ia berikutan tindakan tertuduh memuat naik status di laman sosial miliknya yang ditulis dalam Bahasa Inggeris iaitu “Those ‘Monkey’ is looking extra income... pls (please) beware at Melaka raya near to Standard Charted Bank (Standard Chartered Bank) (‘Monyet’ tu nak cari pendapatan lebih... sila berhati-hati di Melaka Raya berdekatan Standard Chartered Bank).

Berikutan status tertuduh, kedua-dua anggota yang terlibat kemudian telah membuat laporan polis pada hari sama selepas merasa terhina dengan status yang merendah-rendahkan tugas polis. - Utusan Online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini
Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli