Mangsa banjir Terengganu mula pulang ke rumah
MARANG: Penduduk di beberapa daerah di Terengganu mula pulang ke rumah masing-masing selepas banjir mula surut berikutan cuaca cerah sejak semalam.
Bagaimanapun, tugas berat menanti setiap keluarga selepas rumah mereka ditenggelami banjir sejak beberapa hari lalu.
Ramai yang tidak sempat menyelamatkan pelbagai peralatan rumah termasuk perabot, peti sejuk dan mesin basuh.
Bagi penghuni rumah awam kos rendah Bukit Payong, banjir kali ini di luar jangkaan mereka sekaligus terpaksa menanggung kerugian besar.
“Ha, ni kita balik nak tengok rumah lah ni… kerugian ada dalam tiga hingga lima ribu. Barang-barang kita tak alih belaka,” kata mangsa banjir, Mohd Yusri Affendy Yahya kepada Astro Awani.
Seorang lagi mangsa banjir, Sarina Mohd Sarip berkata: “Habis lah rosak, masuk air kan. Sudah berendam berapa hari dah. Tahun dulu, empat almari, empat gerobok saya buang… beli pula yang baru. Sekarang ni pula, masuk pula air… jadi barang saya banyak rosak begitu sahaja.”
Ada diantara penduduk yang sudah meletakkan barangan berharga di tempat yang tinggi namun hujan lebat berterusan mengakibatkan usaha mereka menjadi sia-sia.
Bagi mereka, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
“Kerosakan semua sekali… peti ais, perabot habis semua. Air makin naik sebab hujan tak berhenti-henti,” kata mangsa banjir Fauziah Sharaie.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Yassin Muda berkata, “Kalau ikut, masa bersih ni lagi teruk dari masa angkat barang. Barang yang rosak, kita kena buang semua. Yang mana perabot kita sempat lapik, kita lapik. Selainnya, kita tidak boleh buat apa dah. Pindah sahaja lah.”
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini