Putin dedah kehidupan keluarga, sahkan anak perempuan tinggal di Moscow
MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin yang terkenal kerana merahsiakan mengenai kehidupan peribadinya, akhirnya mendedahkan mengenai di mana dua anak perempuannya berada yang sebelum ini tiada siapapun mengetahuinya.
Semalam, Putin membuka mulut mengenai kehidupan pemerintah Russia yang penuh dengan rahsia dan di luar pengetahuan orang awam.
Beliau juga memberitahu agensi berita TASS, bahawa beliau boleh menawarkan diri untuk melanjutkan tempoh pemerintah sehingga 2024 namun ia akan menimbulkan masalah kepadanya jika kekal menjadi presiden seumur hidup.
Anak perempuan Putin - Maria, 29, atau nama panggilannya Masha, dan Yekaterina, 28, juga dikenali sebagai Katya - menjadi misteri kepada rakyat Russia sehingga wajah mereka pun sehingga kini tidak diketahui.
Namun Putin menyangkal khabar angin bahawa kedua-dua anak perempuannya itu tinggal di luar negara dan berkata beliau berjumpa kedua-duanya setiap bulan.
"Saya mempunyai jadual kerja yang ketat. Malah anak perempuan saya sekali pun dapat berjumpa sekali atau dua kali sebulan" kata Putin dalam temubual itu.
Ditanya di negara mana anak perempuannya tinggal sekarang, bekas pegawai perisikan Russia, KGB itu berkata: "Di Russia, di mana lagi?"
"Semestinya mereka tinggal di Moscow. Kami berjumpa di rumah" kata Putin.
Menurut laporan yang tidak disahkan pada musim panas ini, Maria dipaksa berlepas ke rumah mereka di Belanda selepas peluru berpandu yang dikatakan dibekalkan oleh Moscow digunakan untuk menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di timur Ukraine, mengorbankan 298 orang, kebanyakannya warga Belanda.
Datuk Bandar Hilversum di Belanda yang turut kehilangan beberapa penduduknya akibat nahas pesawat MH17 itu, mahu anak perempuan Putin segera dihantar pulang sebelum menarik balik kenyataannya yang dianggap sebagai komen yang kurang tepat.
Malah, aktivis Ukrainine turut menerbitkan gambar dan alamat rumah anak perempuan Putin yang mendiami sebuah 'pangsapuri mewah' dengan menggesa agar rakyat melancarkan protes.
Yekaterina dilaporkan akan berkahwin dengan anak lelaki kepada seorang jeneral tentera Korea Selatan pada 2010 namun khabar angin berkenaan disangkal oleh jurucakap Putin.
Putin tidak pernah bergambar dengan anak perempuannya, bertentangan dengan Tatyana Yumasheva - anak perempuan kepada bekas Presiden, Boris Yeltsin yang tergolong dalam status kehidupan berprofil tinggi.
Putin memegang kuasa sejak 1999, apabila Yeltsin menjadikannya sebagai Perdana Menteri sebelum pemangku Presiden.
Putin berkata, beliau berkemungkinan menamatkan penggal keempatnya pada 2018, yang sekali gus menyaksikan beliau akan kekal di Kremlin sehingga 2024.
"Keputusan itu bergantung kepada 'hati kecil dan perasaan saya," katanya.
Namun beliau tidak merancang untuk kekal memerintah sehingga akhir hayat.
"Tidak, ia tidak baik untuk negara. "Ia merosakkan dan saya tidak perlukan itu," katanya. - AFP
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini