Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman di luar mahkamah selepas beri keterangan berhubung kes membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Foto : The Malaysian Insider |
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anifah Aman hari ini telah mendedahkan seorang ahli perniagaan, yang rapat dengan Anwar Ibrahim telah menawarkan RM100 juta kepada beliau untuk membawa 10 ahli Parlimen Sabah melompat parti sekaligus menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pada 2008.
Anifah, 61, yang juga Menteri Luar, berkata bekas Timbalan Pengerusi Eksekutif KFC Datuk Ishak Ismail datang kepadanya di Hotel Sentral ketika dia merokok dengan ahli parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee dan seorang lagi ahli parlimen Sabah yang lain pada bulan Mei, 2008.
Anifah bagaimanapun tidak dapat mengingat dengan jelas hari dan tarikh kejadian.
"Ishak mendekati saya dan membuat tawaran itu. Saya terkejut kerana saya sudah komited terus bersama BN demi kepentingan negeri Sabah," katanya memberi keterangan dalam kes dakwaan fitnah ketua pembangkang terhadapnya pada Mei 2009.
"Saya beri amaran kepada Ishak, jangan sekali-kali ulang tawaran itu kepada saya. Saya marah kerana tawaran itu dibuat kepada seorang ahli Parlimen yang sudah tiga penggal berkhidmat," katanya semasa disoal balas peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memetik laporan dari The Malaysia Insider.
Anifah juga memberitahu wartawan tentang jawatan timbalan perdana menteri yang ditawarkan oleh Anwar Ibrahim sekiranya beliau berjaya membantu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2008.- Siakapkeli.com.my