500,000 rakyat Filipina berpindah akibat taufan
MANILA: Kira-kira setengah juta rakyat Filipina terpaksa meninggalkan kediaman mereka berikutan ramalan mengenai laluan taufan ganas termasuk satu yang dijangka membadai ibu negara, Manila dan tidak ketinggalan disusuli angin kencang dan hujan.
Taufan Hagupit atau dalam bahasa Filipina bermaksud "hentam" dijangka membadai bahagian tengah negara itu lewat hari ini.
Negara itu pernah dibadai Taufan Haiyan dan menyebabkan lebih 7,300 orang terkorban dan ramai yang hilang.
Taufan itu sedang mengumpul kekuatan hari ini tetapi akan mula berkurangan apabila ia sampai ke daratan.
"Saya takut. Saya berdoa kepada Tuhan supaya tiada satu lagi bencana melanda. Kami belum pulih daripada kejadian sebelum ini," kata mangsa yang terselamat ketika Taufan Haiyan, Jojo Moro.
Ahli perniagaan berusia 42 tahun itu yang kehilangan isteri, anak perempuan dan ibu tahun lalu di bandar Tacloban berkata, beliau sudah menyimpan stok makanan seperti ikan sardin, mi segera, telur dan air.
Berpuluh-puluh penerbangan dalam negeri dibatalkan dan perkhidmatan feri antara pulau ditangguhkan.
Kira-kira setengah juta penduduk dipindahkan dari wilayah Leyte dan Samar termasuk Tacloban. - AP
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini