Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Elaine terima lamaran di Maldives

No Comment


PERTEMUAN Elaine Daly dan Nick Borden mungkin sama sahaja dengan pasangan lain. Bermula dengan pertemuan yang diatur oleh seorang teman sekitar Mac lalu, tautan perasaan antara mereka kemudiannya bercambah lalu tumbuh membentuk sebuah cinta yang menyatukan dalam rasa kasih dan sayang.

Istimewanya, penyatuan dua jiwa itu berlangsung dalam tempoh kurang daripada lima bulan perkenalan mereka. Dari situ, sudah jelas lagi bersuluh, betapa sungguh-sungguhnya Nick, seorang pakar kiropraktik yang telah menetap lebih 10 tahun di Malaysia itu membuktikan Elaine wanita yang layak diangkat sebagai suri hatinya.

Bertempat di Restoran Ciao, Kampung Pandan, Kuala Lumpur, Elaine, 37, dan Nick, 38, disatukan dalam sebuah resepsi yang bertemakan taman pada 4 Disember minggu lalu.

Dihadiri oleh sanak saudara dan rakan-rakan terdekat, pengacara Bella yang mengenakan gaun panjang berona putih rekaan Khoon Hooi pada petang itu melahirkan rasa teruja selepas rasminya bergelar isteri kepada Nick.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak menyangka bahawa saya akan berkahwin pada hari ini (Khamis). Masih terasa seperti di awan-awangan,” tuturnya membuka bicara sambil tersenyum.

Menyambung perbualan, wanita tinggi lampai itu memberitahu, tiada perasaan lain yang membaluti tubuhnya saat itu selain kebahagiaan bertemu seseorang yang diyakini akan menjaga dirinya sehingga ke akhir hayat.

“Sudah lama rakan-rakan artis dan media bertanya kepada saya, bila mereka dapat merasa giliran nasi minyak di majlis perkahwinan saya.

“Bukan tidak mahu mencari pasangan hidup, tetapi ketika itu, saya masih mencari teman sejiwa yang betul-betul memahami diri saya.

“Sehinggalah saya berjumpa dengan Nick, rasa ingin berkahwin itu terus timbul,” ujar pelakon drama Apa Dosaku itu.

Keseriusan untuk mendirikan rumah tangga terbit dalam diri Elaine dan Nick saat kedua-duanya sedang hangat menyemai cinta. Penuh romantis, Nick melamar Elaine ketika sama-sama menikmati percutian di Kepulauan Maldives pada bulan Julai lalu.

Walaupun tempoh pertunangan selama lima bulan itu dianggap singkat, bagi Elaine, ikatan mereka itu mungkin sebuah ketentuan yang baik dan sepatutnya tidak perlu dilengahkan-lengahkan.

“Sepanjang tempoh mengenali Nick, saya sudah dapat merasakan bahawa dia telah ditakdirkan untuk saya.

“Sejujurnya, saya merupakan seorang yang gemar berdikari. Namun, sewaktu saya sakit, dia yang banyak menjaga saya dan apabila saya pulang lewat malam atas urusan kerja, dia jugalah yang sudi menunggu saya.

“Selain itu, saya juga berasa sungguh selesa apabila bersama dengannya. Sepanjang tempoh mengenali Nick, saya berasa sungguh bertuah,” ujar Elaine sambil memberitahu bahawa Nick merupakan seorang lelaki paling baik yang pernah dikenali.


Melanjutkan bicara tentang karier isterinya, bapa kepada Joshua Borden, 6, itu berkata, dia tidak kisah jika Elaine mahu meneruskan kariernya sebagai pengacara atau pelakon selepas mereka berkahwin.

Tambahnya, dia juga tidak percaya terhadap amalan yang memaksa isteri duduk di rumah dan menjaga keperluan keluarga selepas mendirikan rumah tangga.

“Saya selalu menyokong setiap keputusan yang Elaine mahu lakukan. Saya faham, dia membesar dalam industri hiburan.

“Jadi, saya tidak akan memaksanya duduk di rumah walaupun selepas dia melahirkan anak kelak,” kata Nick.

Ditanya adakah bersedia untuk dikenali sebagai suami kepada seorang selebriti, Nick berkata, selama sembilan bulan mengenali hati budi masing-masing, dia sudah terbiasa dengan rutin harian isterinya itu.

“Jika dia sedang bekerja, Elaine begitu fokus dengan kariernya. Tetapi, apabila dia bersama saya, dia akan menjadi seorang wanita lain yang berstatus isteri,” katanya lagi.

Bagi Elaine pula, walaupun suaminya memberikan lampu hijau untuk terus bekerja, tetapi, dia perlu bijak dalam membahagikan masa supaya komitmen itu dapat dijaga dengan sempurna.

“Mungkin selepas ini saya tidak akan mengambil tawaran berlakon atau mengacara yang memerlukan saya pulang pada lewat malam.

“Lebih-lebih lagi jika saya sudah mempunyai anak sendiri nanti. Keluarga akan menjadi keutamaan saya,” katanya.

Anak

Ketika berbicara perihal masa depan dan cahaya mata, pemenang pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 1999 itu turut memberitahu, dia tidak menetapkan sebarang sasaran untuk menimang cahaya mata.

Katanya, dia memang sukakan kanak-kanak dan berdoa agar dikurniakan zuriat secepat mungkin.

“Kami tidak merancang kerana saya sendiri tidak sabar untuk menimang cahaya mata. Lagi cepat lagi bagus!” ungkap Elaine dengan nada yang penuh harapan.

Ketika ditanya mengenai anak kandung suaminya, Joshua, Elaine memberitahu, hubungannya dengan Joshua sangat rapat.

“Joshua dan saya begitu rapat. Kami sering menghabiskan masa bersama jika saya mempunyai masa lapang.

“Setiap kali berjumpa dengannya, pasti saya akan mengajarnya makan makanan Malaysia,” ujar Elaine diselangi dengan gelak ketawa.

Resepsi kedua

Ketika berkongsi tentang perancangan mereka selepas mendirikan rumah tangga, Elaine berkata, dia dan Nick bakal terbang ke Bali, Indonesia dalam masa terdekat sebelum mengadakan sebuah lagi resepsi di Afrika Selatan pada 17 Januari tahun hadapan.

“Selepas resepsi pada petang ini, saya akan mengadakan sebuah majlis kecil untuk keluarga terdekat sahaja pada hari Sabtu.

“Selepas itu, kami akan bercuti selama beberapa hari di Bali untuk berehat dan menghabiskan masa bersama.

“Kemudian, saya dan Nick akan terbang ke Swaziland, Afrika Selatan bagi mengadakan resepsi untuk keluarga dan rakan-rakan Nick di sana,” kata Elaine yang akan ke Cape Town dan Zimbabwe untuk berbulan madu selepas selesai urusan majlis perkahwinannya di Afrika Selatan.-Kosmo
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini
Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli