LOS ANGELES – Sebuah pesawat milik Penerbangan Southwest mendarat di sini dengan pertambahan seorang penumpang berbanding apabila jet berkenaan berlepas.
Situasi itu berlaku apabila seorang penumpang melahirkan anak sejurus selepas Penerbangan 632 itu berlepas dari bandar raya San Francisco, menuju ke Phoenix di negeri Arizona kelmarin.
Namun, pesawat itu dilencongkan ke bandar raya ini berikutan kelahiran tersebut.
Jurucakap Southwest, Emily Samuels berkata, wanita berkenaan dibantu oleh kru pesawat dan seorang doktor serta jururawat yang kebetulan menaiki penerbangan itu.
Katanya, bayi itu dipercayai akan mendapat keistimewaan untuk menaiki Penerbangan Southwest secara percuma untuk seumur hidup.
“Ibu dan bayi baru lahir itu seterusnya dibawa ke sebuah hospital dan kini berada dalam keadaan baik,” kata jurucakap Jabatan Bomba Los Angeles, Erik Scott.
Sebelum itu, beberapa penumpang berkata, mereka mendengar hebahan di interkom meminta bantuan jika terdapat doktor dalam pesawat itu.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi bayi menangis dan saya berkata kepada diri sendiri, tiada bayi dalam penerbangan ini,” kata seorang penumpang, Kurt Reed.
Juruterbang kemudian membuat ucapan tahniah atas kelahiran bayi lelaki tersebut, ujar seorang penumpang lain, Aarti Shahani.
“Kami semua bertepuk tangan tetapi kami sebelumnya keliru kerana menyangka seseorang akan mati,” katanya. – AP