Keyakinan pemain ketara
PENGENDALI skuad kebangsaan, Dollah Salleh berjanji skuad bimbingannya akan beraksi 200 peratus apabila menentang Vietnam dalam separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014, Ahad ini di Stadium Shah Alam.
Janji itu dilontarkan selepas Dollah melihat semangat pemainnya semakin membara dan dia yakin dengan semangat para pemain negara, Vietnam pasti akan menjadi mangsa mereka pada aksi separuh akhir pertama, Ahad ini.
"Tiada apa yang istimewa mengenai skuad saya, apa yang saya tekankan cuma fokus dan beraksi sebaik mungkin pada hari Ahad nanti.
"Tapi melihat prestasi pemain setakat ini, saya yakin pemain akan memberi sesuatu kepada peminat pada hari perlawanan nanti.
"Lagipun, kami mahu menang dan membawa bekalan selesa ke Hanoi untuk perlawanan kedua," katanya selepas mesyuarat jurulatih kedua-dua pasukan di Wisma FAM, semalam.
Dollah juga berkata, misi Harimau Malaya pada perlawanan tersebut bukan sekadar menggenggam kemenangan tetapi untuk mendapatkan kelebihan dua gol untuk dibawa ke pertemuan kedua kelak.
“Bermain di tempat sendiri, kita akan cuba memburu sekurang-kurangnya dua atau tiga gol sebelum kita ke Hanoi.
"Saya cukup yakin sasaran ini mampu dilaksanakan berdasarkan pengalaman para pemain.
"Namun, saya tahu ia bukannya mudah kerana pihak lawan pasti memberi saingan yang cukup sengit," katanya lagi.
Sementara itu, ditanya mengenai rekod negara yang pernah tewas kepada Vietnam 1-3 dalam perlawanan persahabatan sebelum Piala AFF, Dollah bagaimanapun beranggapan pertemuan kali ini pasti satu yang amat berbeza.
“Saya hormati Vietnam dan mereka juga bukan calang-calang pasukan. Mereka juga telah menunjukkan peningkatan selain dibarisi beberapa pemain berkualiti.
“Apa pun kami sudah bersedia untuk menghadapi apa juga bentuk ancaman yang bakal dilancarkan oleh mereka nanti," jelas Dollah yang masih belum mahu mendedahkan pemain bakal menggantikan Shukor dan Mohd Amri Yahyah yang digantung satu perlawanan serta pemain yang bakal memakai lilitan kapten- Sinar Harian
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini