Warga Emas Bentong Terkejut Jumpa Rumpai Mexico
BENTONG - Penghuni Rumah Warga Emas Bentong dikejutkan dengan penemuan sebatang pokok rumpai mexico yang dikatakan mengandungi racun berbahaya, di sini baru-baru ini.
Pengurus rumah terbabit, Wong Ling Kuan berkata, rumput terbabit ditemui bersebelahan rumah yang didiami warga emas di situ.
“Tumbuhan itu ditemui oleh salah seorang warga emas di sini dan ia berada betul-betul di tepi rumah kami. Kami tak sangka akan menemui pokok terbabit yang sebelumnya hanya dilihat menerusi laporan khabar,” katanya sambil memberitahu perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pihak berwajib dan tindakan wajar telah dilaksanakan pihak berkenaan kelmarin.
“Kami rasa lega sebab tak ada penghuni di sini terkena racun pokok tersebut. Walaupun, hanya sebatang sahaja ditemui ia tetap merisaukan penghuni di sini. Kami juga tak sangka, di kawasan penempatan kami ada tumbuhan beracun tersebut," katanya.
Menurutnya, sekiranya laporan mengenai bahaya tumbuhan berkenaan tidak dilaporkan di dalam akhbar perkara berkenaan mustahil berada dalam pengetahuan mereka.
"Mujur kami baca dalam surat khabar, kalau tidak pasti kami tidak tahu," katanya lega.
Semalam Sinar Harian melaporkan, jabatan kesihatan negeri akan menubuhkan pasukan khas untuk mengkaji masalah atau kesan rumpai mexico sekiranya ada kes mangsa terdedah kepada tumbuhan itu dirujuk ke pusat kesihatan atau hospital.
Bagaimanapun sehingga kini, belum ada laporan atau kes mangsa yang menerima rawatan akibat tersentuh tumbuhan itu di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, beliau dimaklumkan rumpai liar itu mula dikesan tumbuh di beberapa kawasan di Bentong, Jerantut dan Raub.
Menurutnya, secara keseluruhannya beliau mendapati tumbuhan dengan nama saintifiknya ‘Parthenium Hysterophorus’ masih baharu di sini.
Namun, pihaknya akan mengambil tindakan awal supaya masyarakat menyedari bahawa rumpai miang mexico ini berbahaya dan boleh memberi kesan teruk kepada ekosistem semulajadi. - Sinar Harian
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini