80 mayat ditemui terapung dalam Sungai Gangga
Lucknow, India: Lapan puluh mayat ditemui terapung dalam sungai Gangga, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai masalah kebersihan sungai yang dianggap suci oleh penganut Hindu, tempat jutaan mereka membakar mayat anggota keluarga masing-masing.
Mayat itu ditemui terapung dalam anak sungai yang cetek berhampiran kawasan membakar mayat di Uttar Pradesh, negeri di utara India.
Rakaman televisyen turut menunjukkan anjing dan burung memakan mayat yang sudah kembung dan reput yang terapung di permukaan air.
Seorang pegawai menganggarkan sebanyak 80 mayat sudah diangkat naik tetapi memberi amaran jumlah itu mungkin meningkat.
“Mungkin terdapat sekitar 100 mayat tetapi kami belum dapat memastikan jumlah sebenar,” kata majsitret daerah Saumya Agarwal.
Mayat berkenaan timbul selepas air semakin cetek.
“Kami berusaha mencari punca dan sudah menghantar sepasukan doktor ke tempat itu untuk mengumpul sampel daripada mayat berkenaan untuk menyiasat kes itu,” katanya.
Pegawai kanan polis Satish Ganesh berkata, mayat terbabit mungkin ditanam di hulu sungai di kawasan pembakaran mayat yang dikenali Pariyar Ghat sebelum ia hanyut dan terperangkap di kawasan air cetek.
Sudah menjadi kebiasaan penganut Hindu membakar mayat anggota keluarga mereka secara terbuka sebelum menabur abu mayat ke dalam sungai Gangga.
Bagi keluarga miskin yang tidak mampu membeli kayu api dan bahan lain untuk membakar mayat, mereka sering menempatkan mayat anggota keluarga masing-masing di dalam sungai tanpa membakarnya.-Harian Metro
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini