TAWAU – Polis sedang memburu seorang lelaki dikenali sebagai Ronron yang dipercayai merogol lima kanak-kanak di bawah umur antara enam hingga sembilan tahun yang berlaku pada 2013 dan tahun lalu di daerah ini.
Sumber polis memberitahu, perbuatan suspek berusia 30-an itu merogol kelima-lima mangsa yang merupakan sepupu antara satu sama lain disedari oleh nenek mereka yang berusia 64 tahun yang kemudian bertindak membuat laporan polis.
Menurutnya, nenek tersebut memaklumkan cucu-cucunya dirogol oleh suspek di rumah mereka di Taman Kristal, Batu Tiga di Jalan Apas di sini dan di sebuah bangunan pejabat di daerah berkenaan.
“Siasatan mendapati tiga cucu wanita warga emas itu menetap bersamanya manakala dua lagi hanya tinggal sekali-sekala di rumah nenek itu.
“Kesemua mangsa dikatakan mengenali suspek kerana tinggal berjiran dengan rumah nenek mereka. Sebelum itu, Ronron diajak tinggal bersama oleh nenek itu sejak enam bulan lalu kerana suspek menunjukkan sikap yang baik selain membantu pengadu menjaga cucunya,” katanya di sini semalam.
Kata sumber itu, mangsa pertama memaklumkan dia telah dirogol sekitar Februari tahun lalu ketika tidur di ruang tamu rumah neneknya dan selang lima bulan kemudian, seorang lagi cucunya yang baru pulang dari Indonesia telah dirogol di dalam bilir tidur. Kedua-dua kejadian berlaku pada waktu malam.
“Mangsa ketiga pula memberitahu hanya diganggu sekali sahaja sekitar tahun 2013 manakala mangsa keempat menyatakan telah dirogol empat kali di bilik tidur rumah neneknya. Mangsa kelima pula telah dipujuk dan dirogol di pejabat suspek,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Awang Besar Dullah ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan menerima laporan tersebut.
“Suspek kini diburu selepas melarikan diri dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” jelasnya.