Bala Berganda Apabila Bencana Dipropaganda
BENCANA banjir mengakibatkan kerosakan harta benda, kehilangan tempat tinggal, kerugian dalam perniagaan, ada yang dijangkiti penyakit dan anak kecil sudah tidak punyai peralatan untuk memulakan sesi persekolahan.
Sesungguhnya segalanya milik ALLAH SWT dan hanya kepada-Nya tempat kembali. Bersabarlah, semoga semua ini menjadi kafarah dan jika kita reda atas semua kehilangan ini ALLAH akan menggantikan sesuatu yang lebih baik. Insha-ALLAH.
Berita palsu
Rentetan kisah duka ini sebenarnya ALLAH timpakan kepada kita supaya kembali kepada-Nya. Namun menyedihkan apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan isu bencana ini sebagai propaganda untuk kepentingan sendiri.
Dengan kemudahan komunikasi canggih hari ini, perkhabaran yang belum tentu sahih disebarkan dengan pantas dan meluasnya melalui Facebook, Twitter, Instagram, blog dan lain-lain. Semuanya di hujung jari.
Tidak dinafikan jaringan sosial banyak manfaat, tetapi ia juga menjadi musibah sekiranya tiada kesedaran sivik yang tinggi. Rasulullah SAW mengingatkan kita sejak 1400 tahun yang lalu perihal bahayanya komunikasi.
Sabda Rasulullah SAW: "Zaman menjadi dekat (pendek), ilmu berkurangan, dicampakkan kebakhilan (dalam jiwa) dan banyaknya haraj". Sahabat bertanya: "Apa itu haraj’? Nabi SAW menjawab: "Bunuh dan bunuh". (Riwayat Bukhari & Muslim)
Syaikh Ibnu Baz menjelaskan makna dekat ini sebagai komunikasinya menjadi mudah. Kini, media komunikasi serba canggih inilah segala urusan komunikasi menjadi sangat mudah dan cepat.
Hari ini, pesawat hebat dicipta dan harganya makin murah, gajet seperti mesin faks, komputer, internet dan telefon pintar yang canggih dicipta untuk berkomunikasi tanpa sebarang halangan. Terbukti kata-kata Rasulullah SAW perihal suatu masa zaman akan menjadi dekat (pendek).
Kesan komunikasi yang mudah ini menjadikan manusia semakin mementingkan diri. Di kala bencana berlaku pun ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah yang mendatangkan musibah yang lebih besar. Ia tidak boleh dipandang ringan kerana bertentangan dengan akhlak sebagai seorang Muslim.-Sinar harian
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini