Banjir: Jangan Politikkan Cadangan Kerajaan Campuran
KUALA LUMPUR: Cadangan menubuhkan kerajaan campuran UMNO dan PAS di peringkat negeri Kelantan adalah demi pembangunan semula negeri itu susulan tragedi banjir dan bukan bertujuan politik.
Pemilik Sinar Harian Datuk Dr Hussamuddin Yaacub, yang juga merupakan seorang usahawan dari Kelantan, menjelaskan bahawa kenyataan dibuat demi rakyat dan pelan jangka masa panjang negeri itu.
"Berhentikan politik. Saya mahu semua pemimpin duduk satu meja dan fikirkan tentang pelan pembangunan semula Kelantan.
"Saya sebagai ahli korporat ingin melihat ke hadapan. Saya mahu tahu tentang perancangan satu tahun, tiga tahun, lima tahun dan 10 tahun akan datang. Tidak perlu untuk ahli politik bergaduh tentang nak hantar bantuan. Biarkan NGO dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) salurkan bantuan," kata Husammuddin dalam satu sidang media yang diadakan bagi menjelaskan kenyataan beliau yang disiarkan dalam akhbar Sinar Harian pada Rabu.
Tambah beliau, Kelantan harus dibangunkan semula dengan perancangan yang baik.
"Ini akan melibatkan dana yang banyak dan juga pelaksanaan yang bagus. Kalau sekarang ahli politik hendak hantar barang bantuan pun boleh bergaduh, bayangkan bila hendak buat projek besar-besar kelak," kata Hussamuddin.
Beliau turut menjelaskan bahawa kenyataan itu dikeluarkan demi perkukuhkan ummah.
"Saya tiada agenda lain selain agenda perpaduan ummah. Ia penting kerana di Kelantan, atau malah di Malaysia, kaum terbesar adalah orang Melayu dan orang Melayu adalah orang Islam.
"Saya bukanlah orang pandai dalam agama tapi saya tahu secara asasnya Islam ini adalah satu agama yang adil. Kita kena jujur dan kita kena contohi akhlak Nabi kita. Nabi kita dalah seorang pemimpin dan pengurus yang baik.
"Saya berharap dengan bencana banjir ini, pemimpin-pemimpin Islam dapat bersatu demi rakyat dan agama," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menegaskan tiada keperluan menubuhkan kerajaan campuran UMNO dan PAS dalam usaha menyelesaikan masalah banjir di Kelantan.
"Ini bukan masa untuk bincang soal perpaduan, sebaliknya untuk sampaikan bantuan (kepada mangsa banjir). Dan bantuan tetap disampaikan dengan kedudukan sedia ada," katanya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menafikan kemungkinan mengadakan kerajaan campuran di Kelantan demi memastikan kesempurnaan usaha baik pulih negeri itu yang terjejas akibat banjir.
Namun katanya, buat masa ini, tanggungjawab pengurusan banjir di Kelantan dan negeri-negeri lain yang terjejas akibat bencana itu masih terletak di bahu kedua-dua kerajaan.
"Tak apalah... kalau nak ada pun boleh. Kalau tak sampai ke peringkat itu, di peringkat sekarang ini kita tahu menjadi tanggungjawab kedua-kedua kerajaan Negeri dan Persekutuan,” katanya.
Dalam satu rencana terbitan Sinar Harian Rabu lepas, Hussamuddin anggap bencana banjir di Kelantan sebagai satu krisis yang besar dan bukan senang untuk kerajaan negeri tangani.
"Kita mesti pastikan kita ambil langkah yang betul supaya tragedi ini tidak berulang. Menghidarkan banjir dan sebagainya tapi ini perlukan perancangan dan dana.
"Masalahnya sekarang dengan keadaan negeri Kelantan diperintah oleh kerajaan PAS dan Kerajaan Persekutuan adalah Barisan Nasional, langkah-langkah ini sukar untuk dilakukan.
Beliau turut berkata bahawa untuk pulihkan Kelantan bagi jangka masa pendek dan panjang perlu sebuah kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.
"Apabila ini berlaku, dengan sendirinya bantuan, pelaksanaan, perancangan akan jadi lancar," katanya dalam rencana berkenaan.-Astro Awani
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini