Jepun, Jordan bekerjasama bebaskan tebusan
TOKYO 26 Jan. – Jepun hari ini bekerjasama dengan Jordan dan beberapa negara lain dalam usaha menyelamatkan seorang rakyatnya yang masih menjadi tahanan kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria.
Timbalan Menteri Luar Jepun, Yasuhide Nakayama berkata, kerajaan tidak akan berhenti dan berputus asa dalam menyelamatkan rakyatnya, Kenji Goto, seorang wartawan berumur 47 tahun.
“Kami akan mencuba semua pendekatan untuk mencapai tujuan ini,’’ katanya yang menguruskan krisis itu di Amman.
Jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga berkata, kerajaan masih menganalisis video yang disiarkan di Internet yang menunjukkan satu daripada dua tahanan IS, Haruna Yukawa dibunuh.
Apabila ditanya sama ada kesahihan video tersebut, beliau berkata: “Kami tidak boleh menolak bahawa rakaman itu mungkin tulen.’’
Perhatian kini difokuskan kepada cubaan untuk menyelamatkan Goto yang dalam video tersebut memegang gambar Yukawa.
Video itu juga menyatakan IS tidak lagi mahu meminta wang tebusan, namun mahu mengadakan pertukaran tahanan.
Yukawa, 42, ditangkap oleh IS di Syria pada musim panas lalu, manakala Goto pula pada hujung Oktober lepas apabila cuba menyelamatkannya. – AP
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini