Lelaki Nyaris Maut Ditembak Kerana Rebut Petak Parking Sempena Thaipusam
KUALA LUMPUR 25 Jan. – Gara-gara berebut kawasan tempat letak kenderaan bagi perayaan Thaipusam yang akan berlangsung di Kuil Batu Caves, Gombak 3 Februari ini, seorang lelaki nyaris maut akibat terkena tembakan oleh individu yang tidak berpuas hati dengannya hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi semasa mangsa yang berusia 26 tahun menaiki sebuah motosikal menuju ke kawasan berhampiran sebuah flat Taman Desa, Gombak bagi meninjau lokasi tempat letak kenderaan sebelum terserempak dengan sekumpulan lelaki.
Mangsa kemudiannya didatangi seorang lelaki sambil menjerit-jerit sebelum melepaskan beberapa das tembakan.
Sumber berkata, akibat tembakan itu, mangsa terjatuh daripada motosikal namun berjaya lari menyelamatkan diri.
“Mangsa kemudian menghubungi adiknya memaklumkan kejadian sebelum dia dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.
“Pemeriksaan anggota paramedik mendapati satu kesan tembakan di lengan kanan mangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurut sumber itu, setakat ini polis belum dapat mengenal pasti suspek dan pihak forensik telah menjalankan siasatan di lokasi terbabit.
“Hasil pemeriksaan di lokasi, pihak forensik menemukan tiga kelongsong peluru, sebilah parang, sebuah motosikal jenis Yamaha 125z yang telah dibakar serta lapan cap jari pada tin minuman keras,” ujarnya.-Utusan
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini