![]() |
| PEMAIN Chelsea, Filipe Luis (kiri) dan John Terry (kanan) mengawal penyerang Liverpool, Raheem Sterling (tengah) pada saingan separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris, awal pagi tadi. - Foto EPA |
LIVERPOOL: Raheem Sterling mencuri tumpuan apabila beraksi cemerlang untuk memperdaya penjaga gawang Chelsea, Thibaut Courtois dengan gol gerakan solo bagi membantu Liverpool seri 1-1 pada saingan separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris, awal pagi tadi.
Ternyata aksi di Anfield memerlukan sesuatu yang ajaib untuk menumpaskan Courtois dan Sterling memanfaatkan peluang terbaik pada minit ke-59 apabila menyambut bola pada jarak 40 meter dari gawang dan melarikan diri daripada asakan pertahanan Chelsea sebelum membuat penyudah cantik.
Gol itu sekali gus menafikan kelebihan Chelsea yang terdahulu di depan hasil sepakan penalti pada minit ke-18 menerusi Eden Hazard ketika pelawat mempamerkan corak permainan defensif sehingga menyaksikan pendahulu Liga Inggeris itu lemah cengkaman terutama pada babak separuh masa kedua.
"Mereka adalah pasukan teratas tapi saya tidak pasti sama ada mereka pernah bermain seperti ini pada musim ini.
"Saya ingatkan prestasi ini adalah satu penanda aras. Memang tidak dapat diragukan bahawa kami kini boleh fokus perlawanan peringkat kedua dan mendapat prestasi yang kami perlukan," kata pengurus Liverpool, Brendan Rodgers.
![]() |
| PENYERANG Chelsea, Eden Hazard menyempurnakan penalti pada minit ke-18 ketika bertemu Liverpool di Anfield, awal pagi tadi. - Foto AP |
Selepas persembahan hambar pada awal musim, Liverpool bangkit dengan sentuhan berbisa dan hampir menyambar gelaran Liga Perdana musim lalu. Mereka masih belum kalah dalam sembilan perlawanan.
Sementara itu, pengurus Chelsea, Jose Mourinho merungut terhadap persembahan buruk anak buahnya tetapi itu sebenarnya adalah kerana tekanan daripada Liverpool, yang memburu gelaran kelapan dalam Piala Liga. - AP

