![]() |
| Rosli menjaga Ahmad dan Muhammad bagai menantang minyak yang penuh. |
Kenyataan itu dibuat selepas Rosli masih enggan menerima tawaran yang dikemukakan LZS untuk kali kedua iaitu pemberian dua kategori bantuan zakat iaitu asnaf fakir dan miskin serta ansaf gharimin.
Rosli, 44, menegaskan beliau hanya akan menerima bantuan asnaf gharimin bagi menampung perbelanjaan bulanan membeli lampin pakai buang dan beg najis kedua-dua anak istimewanya itu.
Atas dasar itu, LZS memutuskan untuk mempermudahkan urusan bantuan selama enam bulan untuk Ahmad dan Muhammad sebaik borang permohonan diserahkan kepada pejabat agensi tersebut yang berdekatan.
Pengurus Komunikasi Korporat Lembaga Zakat Selangor (LZS), Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, pihaknya masih lagi menunggu borang permohonan daripada Rosli.
"Lagi cepat dia hantar (borang), lagi cepat bantuan disalurkan," katanya kepada mStar Online.
Menurutnya, sebaik sahaja borang tersebut diterima, LZS akan memproses permohonan itu dalam tempoh 14 hari sama seperti permohonan lain.
Namun, bagi kes ini, Norajun berkata, urusan bagi mendapatkan bekalan lampin pakai buang dan beg najis untuk pasangan kembar itu akan dipermudahkan.
"Kali ini, Rosli hanya perlu ke farmasi atau kedai berdekatan yang dilantik LZS sebagai pembekal barangan keperluan tersebut," katanya.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, Norajun berkata, Rosli boleh mengambil barangan keperluan dua anaknya itu mengikut jumlah bantuan yang diluluskan bagi tempoh enam bulan.
"Dia hanya perlu ambil sahaja... tidak perlu lagi buat tuntutan wang pembelian barang keperluan tersebut kepada LZS. Dia boleh ambil setiap bulan sehingga tempoh bantuan berakhir atau sekali gus. Kita mahu memudahkan urusan selepas mengambil kira masalah yang dihadapinya," kata Norajun.
.jpg)