Malaysia Mudah ke Separuh Akhir
SENGKANG, Singapura – Meskipun persembahan agak perlahan namun Malaysia tetap mudah melangkah ke pentas separuh akhir Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di sini.
Kejayaan itu hadir selepas The Speedy Tigers sekali lagi berpesta gol apabila menumpaskan Mexico 10-1 pada aksi suku akhir di Stadium Hoki Sengkang semalam.
Pengendali sementara skuad hoki negara, Tai Beng Hai mengakui sentuhan barisan pemainnya tidak begitu menjadi pada aksi tersebut.
“Ini kali pertama kami terpaksa bermain di sebelah pagi menyebabkan ketajaman pemain-pemain tidak begitu menjadi tetapi satu petanda bagus mereka masih boleh menjaringkan 10 gol.
“Kita hanya perlu menang dan aksi separuh akhir nanti mungkin berbeza, jadi kita perlu berikan 100 peratus dari awal permainan bermula,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.
Dalam aksi itu, ketajaman penyudah Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil mencuri tumpuan berbanding Faizal Saari apabila dia berjaya meledak empat gol seawal minit keempat, 35, 36 dan 48.
Begitupun, Faizal juga berjaya menjaringkan satu gol pada minit ke-14 sekali gus mengumpul jaringan peribadi ke-10 sepanjang kempen kali ini.
Lima lagi gol skuad negara dihasilkan oleh kapten pasukan, Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-16, Muhammad Firhan Ashaari (19), Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin (40), Izad Hakimi Jamaluddin (44) dan Muhammad Haziq Samsul (54).
Gol tunggal Mexico pula diperoleh menerusi jaringan padang Andres Rangel pada minit ke-24.
Selepas ini, Malaysia yang baharu dinaikkan daripada ranking ke-13 kepada 12 dunia akan bertemu lawan sebenar, Jepun pada aksi separuh akhir esok.
Pasukan ranking ke-15 dunia itu mara ke separuh akhir selepas menewaskan Ukraine 5-0 dalam satu lagi aksi suku akhir yang berlangsung semalam.
Sementara itu, Firhan yang terpaksa dikejarkan ke hospital kerana cedera di bibir selepas bertembung dengan penjaga gol Mexico, Moises Vargas belum pasti dapat diturunkan esok.
“Firhan perlu menerima jahitan kerana dia mengalami kecederaan koyak pada bibir. Kita tak tahu lagi, kena tunggu laporan doktor dahulu,” tambah Beng Hai. - Kosmo!
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini