Wong Yit Fun menunjukkan pintu grill yang cuba diumpil oleh lelaki dipercayai ‘orang minyak’. |
SEREMBAN – Hasrat lembaga hitam badan berkilat yang cuba memasuki sebuah rumah di Taman Bukit Kristal di sini tidak kesampaian, apabila tindakannya menceroboh disedari oleh tuan rumah.
Pemilik rumah, Wong Yit Fun,55, berkata kejadian kira-kira jam 2.20 pagi semalam, ketika dia sedang menonton televisyen diruang tamu.
Katanya, semasa kejadian, rumahnya berada dalam keadaan gelap kerana semua ahli keluarganya sudah tidur, kecuali dia.
“Semasa saya sedang menonton televisyen, saya terdengar sesuatu bunyi di bahagian depan gril, tapi tidak mengendahkannya.
“Bunyi itu semakin kuat. Saya pun selak kain langsir di bahagian pintu, lalu ternampak kelibat seorang lelaki berbadan sederhana tinggi, berada di pintu gril cuba untuk membukanya.
“Lelaki yang hanya berpakaian seluar dalam, tanpa selipar dan badan berminyak, terus melarikan diri bila dengar saya menjerit,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Katanya, mujur pada waktu itu dia belum tidur lagi, jika tidak pasti rumahnya sudah dipecah masuk.
Tambah Yit Fun, ketika kejadian, pintu pagar rumahnya tidak berkunci, dan mungkin disebabkan itu pencuri itu berani bertindak masuk.
“Saya yakin lelaki itu merupakan orang minyak (pencuri), berdasarkan keadaan kulitnya yang berkilat, tanpa memakai baju dan seluar, memasuki rumah orang untuk mencuri,” katanya.
Sehubungan dengan itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Cambell, pada hari yang sama. - Sinar Harian